Peruntukan tambahan sebanyak RM43 juta disalurkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membuka 2,500 lagi kawasan baharu jualan secara langsung dalam tempoh enam bulan akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan tambahan tersebut diluluskan Kabinet minggu lalu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peruntukan tambahan itu selaras usaha kerajaan membantu rakyat mendapatkan bahan keperluan asas pada harga lebih rendah.
“Peruntukan tambahan RM43 juta adalah bagi enam bulan terakhir tahun ini, yang mana 5,000 lokasi akan dikenal pasti dan mungkin sasaran 2,500 untuk kawasan baharu untuk jualan langsung.
“Sehingga kini, FAMA sudah melakukan jualan di 523 lokasi kawasan berkepadatan tinggi,” katanya.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di Putrajaya hari ini.
Katanya, inisiatif Jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan diadakan di 11 lagi kawasan Parlimen dalam masa terdekat bagi melengkapkan 222 Parlimen.
Sehingga 30 Jun lalu, beliau berkata, Program Jualan Agro Madani dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 52 lokasi di kompleks kerajaan.
“Saya difahamkan ia membabitkan 720 orang usahawan tempatan dengan nilai penjimatan kepada pelanggan mencecah RM320,000.
“Berdasarkan kajian, kita dapati ada sedikit permasalahan mengenai beras dan gula tetapi itu sangat terpencil kerana kedua-duanya adalah barangan kawalan.
“KPDN dan KPKM diarah berbincang untuk membentuk penyelarasan bagi menambah baik jualan murah lebih komprehensif,” katanya lagi.