Pusat judi haram: Zuraida gesa polis jalankan siasatan atas dakwaan Jamal

Pusat judi haram: Zuraida gesa polis jalankan siasatan atas dakwaan Jamal

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin mahu pihak polis turut menjalankan siasatan terhadap dakwaan pusat hiburan keluarga digunakan sebagai pusat perjudian haram sebagaimana dakwaan Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin mahu pihak polis turut menjalankan siasatan terhadap dakwaan pusat hiburan keluarga  digunakan sebagai pusat perjudian haram sebagaimana dakwaan Datuk Seri Jamal Md Yunos.

“Pihak polis juga perlu melanjutkan siasatan mereka berhubung dakwaan bahawa pusat hiburan keluarga yang digunakan sebagai pusat perjudian haram.

“Permit majlis kerajaan tempatan tidak membenarkan perjudian haram dan saya melihat perkara ini dengan serius.

“Jika di semua tempat ini sedang disalahgunakan untuk maksiat, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengetatkan kawalan ke atas aktiviti-aktiviti tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamal, Pengerusi Gerakan NGO Malaysia semalam dan sembilan yang lain telah ditahan reman lima hari untuk membantu siasatan terhadap tindakannya yang menyerbu beberapa premis yang disyakki menjalankan kegiatan perjudian haram di Taman Kosas, Ampang pada 29 Disember lalu.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata, bagaimanapun tindakan pihak polis menahan Jamal  harus dijadikan teladan kepada masyarakat.

“Penahanan Jamal akan dijadikan sebagai peringatan kepada orang-orang yang berfikir bahawa mereka boleh mengambil tindakan sendiri sewenang-wenangnya menyerbu premis tanpa kebenaran.

“Walaupun pihak polis sekalipun harus mengikut prosedur yang betul sebelum melaksanakan sebarang serbuan tanpa pengecualian.

“Apatah lagi membabitkan orang awam seperti Jamal harus serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan ke atas apa-apa aduan,” ujarnya.

Zuraida berkata, terdapat saluran yang betul untuk menangani perkara-perkara seperti ini.

“Saya percaya pihak polis peka terhadap aktiviti-aktiviti haram sedemikian. Jika polis menutup mata kepada aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang, maka kita perlu mengetahui sebab musababnya,” ujarnya.

Dalam pada itu Zuraida mencadangkan agar Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dirujuk kepada pakar psikologi kerana tindakannya yang mengugat kententeraman awam seperti banyak dilakukan Jamal sebelum ini.

“Jamal yang berkelakuan tidak waras telah mencetuskan gangguan pada masyarakat am. Jamal yang tidak waras setakat ini telah melakukan adegan termasuk berkeadaan hampir bogel di tengah jalan beberapa bulan yang lalu, beliau telah menyimbah cat pada wanita, dan secara membuta tuli menuduh dipukul sedangkan footage video membuktikan sebaliknya.

“Saya mengesyorkan pihak polis merujuk Jamal untuk pemeriksaan kewarasan di Hospital Tanjung Rambutan dan melindungi keselamatan orang awam daripada ancaman beliau,” cadangnya.

TAGS