Malaysia Dateline

Pusat kebajikan makin sunyi, anak muda usaha kumpul sumbangan

Menempuh bulan Ramadhan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih lagi berkuatkuasa, pusat-pusat kebajikan mulai sunyi tidak lagi mendapat kehadiran mahupun bantuan dari pengunjung luar.

Usaha anak muda yang menjalankan inisiatif membantu golongan tidak berkemampuan, menarik perhatian bagaimana program kecil yang dirancang berseorangan itu akhirnya menyumbang kepada program bantuan yang lebih besar.

Mohamad Faiz Isa, 25, (gambar atas: berbaju merah paling kanan) berkata, program yang dilaksanakan itu juga menyedari hari sambutan belia yang agak sedikit tenggelam berbanding dengan Hari Jururawat, Hari Ibu dan Hari Guru yang disambut juga pada bulan Mei.

Faiz berbual dengan pemilik pusat kebajikan.

“Mengambil semangat hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan selain inginkan kelainan menyambut hari belia, saya terdetik untuk melaksanakan program amal kebajikan.

“Pada mulanya saya jangkakan ini hanya bersifat ‘one-off’ oleh kerana saya lakukan atas kapasiti individu dan bukan secara berkumpulan.

“Tapi tak sangka, ramai pula membantu dan memberikan sumbangan. Akhirnya bantuan ini jadi usaha bersama lima lagi rakan-rakan saya,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Usaha anak muda yang menjalankan inisiatif membantu golongan tidak berkemampuan, menarik perhatian bagaimana program kecil yang dirancang berseorangan itu akhirnya menyumbang kepada program bantuan yang lebih besar.

Terdahulu, program Amal Circle 1.0 itu memfokuskan bantuan kepada seramai 20 penghuni pusat Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Negeri Johor di Johor Jaya.

Pada masa sama, menurut Faiz, keadaan pusat berkenaan yang ketika itu amat memerlukan bantuan mendorongnya untuk mengumpulkan bantuan orang ramai bagi memudahkan sumbangan diserahkan.

Malah katanya, hasil sumbangan dari rakan-rakan, dia berjaya memperoleh jumlah bantuan fasa pertama melebihi sasaran sebanyak RM2,000 tidak termasuk barangan tajaan dari pasaraya-pasaraya.

Namun begitu luahnya, Program Amal Circle 2.0 dijangka akan dilaksanakan pada Jumaat hadapan berikutan masih ada lagi beberapa pihak yang berhajat untuk menyerahkan sumbangan kepadanya.