ULASAN: Bagi menumpukan Program Pembangunan Modal Insan, melalui Bajet tahun 2016 Negeri Perak telah memperuntukan sebanyak RM 7 Juta atas nama pendayaan modal insan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran.
Dalam Perbentangan Bajet 2016 tersebut bagi maksud mengupayakan modal insan sejumlah RM 62.5 Juta disalurkan dan sebanyak RM 55.8 Juta diperuntukkan melalui pengupayaan pendidikan yang telah diagihkan ketika itu.
Bagi memperkasakan bekalan tenaga kerja mahir dan terlatih Kerajaan Negeri Perak telah mengambil inisiatif dengan sebuah kumpulan latihan bagi mewujudkan Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PPMIP) di negeri ini.
Sekali lagi di dalam Perbentangan Bajet 2018 baru-baru ini, sebanyak RM 9.2 Juta diperuntukan atas nama Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) dan satu lagi agensi adalah Progam Pusat Pemadanan Kerjaya Amanjaya (PEKA).
Kewujudan PPMIP atau Perak Human Capital Development Center (PHCDC) ini pada tahun 2016 telah disuntik peruntukan sebanyak dua kali di dalam Bajet Perak iaitu pada tahun 2016 dan sekali lagi pada tahun 2018 dengan jumlah yang begitu besar.
Jika diikuti perbentangan ketika Bajet 2016, Menteri Besar Negeri Perak Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir mensasarkan berdasarkan unjuran PPMIP, Perak memerlukan 8,950 pekerja mahir bagi tahun 2016.
Dengan mempunyai kapasiti melatih seramai 2,000 tenaga mahir dan separa mahir setiap tahun dalam pelbagai bidang seperti animasi multimedia, reka bentuk acuan, telekomunikasi dan juga kimpalan.
Jika dibuat semakan, sebenarnya atas nama Pusat Kemahiran telah wujud semenjak pada Mac 1993 lagi dengan sebuah Pusat Latihan Kemahiran yang lengkap semasa Tan Sri Dato’ Seri Ramli Ngah Talib sebagai Menteri Besar Perak dahulu.
Atas nama Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Perak atau Perak Entrepreneur and Skills Development Centre (PESDC) telah ditubuhkan ketika itu di Kawasan Perindustrian Pusing dengan fasiliti yang cukup lengkap dan masih beroperasi hingga kini.
Tetapi tiba-tiba wujud PHCDC yang didaftarkan melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 27 Jun 2014 beralamat di 76 (Aras Bumi), Persiaran Greentown 1, Greentown Business Centre, 30450 Ipoh.
Dengan menggunakan nama Jawatankuasa Pengurusan Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (Perak Human Capital Development Center), Nombor Pendaftaran : PPM-015-08-27062014 dengan mempunyai lapan Jawatankuasanya.
Selain alamat daftarnya, PHCDC mempunyai dua lokasi Pusat Kemahirannya iaitu di Lot Q5A, Jalan Pelabuhan 12, Lumut Port Industrial Park, Kampung Acheh, 32000 Sitiawan dan Bandar Meru Raya, Off Jalan Jelapang, 30020 Ipoh.
Adapun Bangunan Human Capital Resources Hub (HCRH) dan tanah lapang berdekatannya adalah milik penuh Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang turut PHCDC gunakan sebagai tempat Pusat Kemahirannya.
Dengan bersandarkan sepucuk surat daripada Pejabat Menteri Besar Perak bertarikh 17 Februari 2015, PHCDC secara rasmi disokong penubuhannya melalui Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak pada 17 Disember 2014.
Siapakah ‘figure’ disebalik penubuhan PHCDC ini yang tidak sampai dua tahun telah ‘dilayan’ dengan begitu mesra dan baik? Adakah ‘orang yang mempunyai hubungan istimewa’ tersebut merupakan Doktor Peribadi Datuk Seri Zambry?
Ini kerana proses kewujudannya begitu pantas sedangkan keupayaan penubuhannya masih tidak lengkap berbanding Pusat Kemahiran sediada yang lebih berpengalaman dengan peralatan yang canggih.
Difahamkan Doktor Peribadi Datuk Seri Zambry tersebut telah dikurniakan Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati (DK) sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Ke-84, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah tahun 2012.
Laman Sesawang anakjatimalaya93.blogspot.com pula telah mengeluarkan sebuah artikel berkaitan Doktor Peribadi tersebut berkaitan pemilikan tanah Kerajaan Negeri Perak atas nama sebuah syarikat Serba Mulia Sendirian Berhad.
Artikel yang ditulis pada 10 Julai 2013 tersebut menjelaskan bahawa tanah seluas 6 ekar yang terletak di belakang Rumah Pengakap, Greentown selain 200 ekar tanah di Gopeng dan 15 ekar di Meru yang telah dimilikinya melalui catatan entri tersebut.
Apa beza PHCDC zaman Datuk Seri Zambry sekarang dan PESDC zaman Tan Sri Ramli dahulu, adakah wujud isu ‘kronisme’ kerana ‘limpahan’ peruntukan disalurkan di situ?
Jika penubuhan PHCDC tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri Perak, kenapa kewujudan PESDC tidak diperkasakan kerana ianya cukup berpengalaman dan berupaya dengan inspirasi yang dilontarkan oleh Datuk Seri Zambry sendiri.
Sudah tentu kewujudan PHCDC ibarat ‘ada udang disebalik batu’ dan sudah tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar membuat siasatan diatas penubuhan PHCDC ini dengan segera.
*Penulis adalah Setiausaha AMANAH Perak.