Malaysia Dateline

Pusat khidmat Adun Kg Tunku anjur inisiatif digital usahawan mikro

Pusat Khidmat ADN (Ahli Dewan Negeri) Kampung Tunku akan menganjurkan Inisiatif Digital Usahawan Mikro Kg Tunku, bagi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bandar Petaling Jaya.

Adun Bukit Tunku, Lim Yi Wei berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan perisian (software) Yezza yang membantu usahawan menguruskan perniagaan mereka di WhatsApp.

Pusat ADN Kampung Tunku juga akan bekerjasama dengan Stack yang menyediakan inisiatif ruang co-working yang pertama di Malaysia, iaitu PAPER + TOAST, untuk menyokong kelestarian ekosistem usahawan dan perniagaan di Malaysia.

Katanya, inisiatif Stack dijalankan secara holistik dengan menghubungkan perniagaan dan usahawan dengan pembekal teknologi dan meluaskan pasaran para usahawan.

“Dari Inisiatif Digital Usahawan Mikro Kg Tunku, kami berharap dapat membantu 100 usahawan mikro. Mereka akan dapat ilmu bagi membolehkan mereka menyertai inisiatif berskala besar pada masa hadapan, misalnya e-Bazar anjuran Kerajaan Negeri Selangor.

“Pada tahun lepas, E-Bazar 11.11 Selangor yang berlangsung dari 26 Oktober hingga 15 Disember telah menjana RM1.04 billion kepada ekonomi riak, dan RM32.06 juta dalam jualan terus.

“Pusat Khidmat ADN Kg Tunku akan menaja 100 akaun Personal Yezza untuk 3 bulan. Sebaik sahaja tempoh 3 bulan itu tamat, peserta boleh memilih sendiri untuk teruskan penggunaan Yezza,” katanya dalam satu kenyataan.