Malaysia Dateline

Pusat Khidmat Menteri KPKT diwujudkan untuk selesaikan masalah rakyat

Bagi memastikan aduan dan masalah rakyat dapat didengari dan diatasi, Pusat Khidmat Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah diwujudkan buat julung kalinya di Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Menterinya, Zuraida Kamaruddin ketika merasmikan pembukaan pusat khidmat tersebut di Bagan Ajam, Butterworth semalam.

Menurut Zuraida lagi, penduduk yang menghadapi pelbagai masalah samada berkaitan dengan perumahan, bomba, sampah dan kerajaan tempatan boleh membuat aduan di pusat khidmat yang telah diwujudkan.

“Pusat khidmat yang ditubuhkan ini adalah yang pertama ditubuhkan bagi mewakili kawasan utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis.

“Sekiranya rakyat menghadapi kemusykilan dan masalah mengenai isu dan agensi tersebut, maka mereka boleh mendapatkan khidmat dan nasihat dari pusat tersebut.

“Selain itu premis ini juga boleh digunakan untuk dialog maupun forum bersama dengan agensi kerajaan sedia ada bagi menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, pusat ini juga berfungsi untuk membantu kementerian menyampaikan maklumat serta menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang wujud.

Ujarnya, pusat ini akan mewakili zon utara serta merupakan yang pertama dilancarkan selepas Dasar Komuniti Negara (DKN) dilancarkan pada awal tahun ini.

“Pusat khidmat seumpama ini juga kemungkinan akan turut diwujudkan di zon selatan, pantai timur, Perak atau pun Selangor, Sabah dan juga Sarawak.

“Ia akan beroperasi antara jam 10 pagi sehingga 5 petang dan akan dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau NGO.

“Sementara itu ia akan turut dipantau oleh KPKT sekiranya terdapat mana-mana kes yang tidak dapat diselesaikan,” tambah beliau lagi.

Pada 17 Februari yang lalu, Perdana Menteri telahpun menyempurnakan pelancaran DKN yang telah diluluskan oleh jemaah menteri pada 23 November 2018.

DKN merupakan dasar untuk memberdaya komuniti setempat agar dapat melibatkan diri mereka secara aktif dalam penyenggaraan, pengurusan harta awam serta membangunkan komuniti setempat secara inklusif.