Malaysia Dateline

Pusat Khidmat Penyelaras Dun Kukup, markas utama AMANAH Johor

 

Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kukup, Pontian, Johor telah dipilih untuk dijadikan sebagai markas utama Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, untuk PRK yang akan diadakan nanti, pihaknya juga berkemungkinan akan lebih menumpukan di kawasan Dun Kukup yang mempunyai sejarah kepada AMANAH itu sendiri.

“Kawasan Dun Kukup berada dalam perhatian kerana kami pernah bertanding di sana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu. Selain itu, Dun tersebut juga mempunyai majoriti penduduk Melayu iaitu sebanyak 56 peratus.

“Tentang kekuatan jentera pula, kami akan membuat keputusannya dalam sehari dua lagi. Untuk makluman, sebelum ini ada 30 daerah mengundi dan kita juga akan berbincang dengan parti-parti yang lain mengenai perkara itu (kekuatan jentera).

“Dari segi persiapan, kita telah mengadakan dua kali mesyuarat iaitu di peringkat negeri dan kawasan. Hasil mesyuarat itu, kita telah memutuskan untuk menjadikan Pusat Khidmat Penyelaras Dun Kukup sebagai markas utama dalam PRK kali ini,” katanya kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai proses persiapan menjelang PRK Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan nanti.

PRK Tanjung Piai akan diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU-14 dengan majoriti 524 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Difahamkan, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas di Putrajaya esok bagi membincangkan berkaitan urusan PRK Tanjung Piai yang akan diketuai Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun.