Malaysia Dateline

Pusat konvensyen terbesar utara Malaysia mampu muat 8,000 orang siap beroperasi di Seberang Perai

Julung-julung kalinya Seberang Perai Utara telah berjaya menjadi lokasi mempunyai pusat konvensyen terbesar di utara Malaysia dengan dewan bankuet bertaraf lima bintang. 

Pusat konvensyen yang dikenali sebagai Butterworth Arena atau Pusat Pameran Konvensyen Budaya dan Seni Antarabangsa Pulau Pinang (PIECCA) terletak di Ampang Jajar, Butterworth bersempadan dengan Parlimen Bagan dan Parlimen Permatang Pauh telah siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada pertengahan November 2022.

Adalah difahamkan pusat konvensyen tersebut merupakan daya usaha kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dengan kos sebanyak RM59 juta. 

PIECCA dua tingkat tersebut telah dibina pada April 2017 dan siap pada September 2022 dan boleh memuatkan seramai 8100 orang tetamu. 

Ia bukan saja dilengkapi dengan fasiliti 600 tempat letak kereta dan 400 lot parkir untuk motosikal , tetapi juga mempunyai kemudahan tiga bilik ‘ballroom’ dengan kapasiti sebanyak 360 meja. 

Tinjauan juga mendapati ia turut dilengkapi dengan sebuah pentas, empat bilik untuk majlis keramaian serta juga dua buah dapur yang berasingan. 

Pusat tersebut sesuai bagi majlis keramaian seperti konvokesyen, pameran, simposium, perkahwinan dan sebagainya.