NOW mahu bela pegawai polis wanita ditahan bawah Sosma

NOW mahu bela pegawai polis wanita ditahan bawah Sosma

Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (Now) akan bekerjasama dengan pasukan peguam bagi membela kes seorang pegawai polis wanita yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Korporal Jusninawati Abdul Ghani ditahan di bawah Sosma atas tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan.

Pengarah eksekutif Now Rafizi Ramli berkata pihaknya bimbang Sosma digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh kerajaan tanpa timbang tara yang sewajarnya daripada masyarakat.

“Saya bimbang masyarakat secara umumnya mempunyai stigma dengan kes-kes di bawah Sosma dan dengan mudah membuat kesimpulan bahawa mereka yang didakwa adalah pengganas,” katanya dalan sidang media di pejabat Now di Sungai Besi hari ini.
Jusninawati ialah ibu tunggal yang mempunyai dua anak kecil dan menanggung seorang ibu tua.

Beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilan di internet melalui facebook dibekalkan oleh seorang pembekal di Kedah.

Setelah berurusan hampir setahun, beliau menjadi akrab secara online dan dijemput pembekal itu ke Kedah untuk melawat.

Semasa di Kedah, Jusninawati mengikuti rakannya hadir ke satu kenduri dan bergambar bersama-sama kenalan lain.

Salah seorang daripada kenalan yang turut bergambar telah ditahan di bawah Sosma.

Hasil daripada siasatan terhadap tahanan itu, beberapa orang yang turut bergambar ditahan di bawah Sosma termasuklah Jusninawati dan seorang remaja berumur 17 tahun.

Rafizi juga berkata,, beliau bimbang berdasarkan maklumat tersebut aa risiko Jusninawati boleh teraniaya jika beliau terus mengaku bersalah seperti 90 peratus tahanan yang lain.

“Peguam Now telah berjaya melawat Jusninawati di Penjara Kajang sekali setakat ini.

“Ada dakwaan beliau tidak dibenarkan memakai tudung di dalam tahanan yang sedang kami semak dengan pihak berkuasa,”katanya lagi.

Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah peguam yang membela beberapa kes Sosma secara sukarela iaitu Saiful Izham Ramli dan Nik Zarith Nik Moustpha.

Saiful Izham berkata, pihaknya minta bantuan Now untuk mengetengahkan isu Sosma yang tidak mendapat perhatoan masyarakat.

“Kami berjumpa Now untuk bantu beri pendedahan mengenai Sosma kerana kes sebelum in tidak mendapat perhatian masyarakat,” katanya.

Justeru Now akan menganjurkan forum dan kempen untuk mendedahkan isu ini kepada masyarakat.

COMMENTS

Wordpress (0)