Malaysia Dateline

Pusat OKU Selangor terima 26 pelajar istimewa, sasar 60 pelajar setahun

Pusat OKU Selangor yang dinamakan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat ANIS), telah menerima pendaftaran sebanyak 26 orang pelajar istimewa sejak September hingga November tahun ini.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kesemua pelajar yang didaftarkan itu kini sedang menerima perkhidmatan Early Intervention Programme (EIP).

Beliau mensasarkan sebanyak 60 pelajar yang akan mengikuti sesi terapi secara mingguan selama satu tahun.

“Di dalam pelaksanaan program intervensi awal ini, Pusat ANIS telah menyediakan seramai lima orang guru pendidikan khas, satu orang jurupulih cara kerja dan tiga orang pembantu guru.

“Kaedah pelaksanaan intervensi yang dijalankan adalah melalui dua kaedah iaitu one-to-one dan group therapy.

“Setiap pelajar yang hadir perlu diiringi bersama dengan ibu atau bapa pelajar sepanjang sesi intervensi dijalankan dengan setiap sesi mengambil masa selama dua jam sekali dalam seminggu,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Menurutnya, objektif penglibatan ibu atau bapa semasa sesi intervensi tersebut bertujuan untuk memindahkan maklumat dan ilmu kepada ibu bapa untuk menjalankan intervensi semasa berada di rumah.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Jamaliah Jamaluddin (PH-Bandar Utama) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan mempunyai peruntukan pusat OKU khas yang mampu menyokong Program Pendidikan Khas Integrasi di negeri Selangor

Selain itu, beliau juga bertanya adakah kerajaan negeri akan menggunakan bakat yang terlahir melalui program ‘Training of Trainers’.

Menjawab persoalan kedua, Siti Mariah berkata, kerajaan akan melibatkan peserta yang mengikuti program Training of Trainers (ToT) Pendidikan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) sebagai fasilitator untuk membimbing para pendidik di taska arus perdana yang menerima pelajar berkeperluan khas.

Peserta program ToT juga akan dijadikan sebagai fasilitator bagi aktiviti kumpulan sokongan untuk ibu bapa anak istimewa.

Untuk rekod, peserta Program ToT ini terdiri daripada mahasiswa yang sedang menuntut di tahun akhir (selain pendidikan khas); graduan pendidikan (selain pendidikan khas); pendidik di institusi pendidikan awal seperti tadika dan taska; dan sukarelawan dalam kalangan komuniti.

Latihan ini bertujuan untuk mendedahkan para peserta tentang perkembangan terkini bidang pendidikan khas dalam dan luar negara, tentang ciri-ciri murid berkeperluan khas, cara pengenalpastian, intervensi awal dan strategi pengajaran dan pembelajaran berkesan untuk murid berkeperluan khas.

“Kerajaan negeri akan menggunakan bakat yang terlahir melalui program ‘Training of Trainers’ ini dalam menyediakan peserta, pengajar, dan fasilitator yang mampu untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan.

“Selain itu, memastikan mereka boleh menjawab persoalan dan menjadi rujukan berkenaan anak istimewa dari institusi, komuniti atau persatuan yang diwakili.

“Dan memimpin ibu bapa dan pendidik hal-hal berkenaan pengurusan dan pembelajaran anak istimewa,” katanya.