Malaysia Dateline

Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit bantu anak-anak gelandangan

Hampir 50 orang termasuk ibu bapa dan kanak-kanak warga miskin bandar serta gelandangan menghadiri majlis kesyukuran dan pelancaran pembukaan Pusat Pembelajaran Komuniti di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menyasarkan lebih ramai kanak-kanak warga miskin bandar dan gelandangan mendapat manfaat sokongan sosial dari Pusat Pembelajaran Komuniti ini.

Nor Hisham berkata, pusat yang telah beroperasi selama empat hari bermula 29 April lalu adalah untuk mewujudkan pusat kaunseling dan psikologi komuniti setempat dengan aktiviti-aktiviti kerohanian untuk anak-anak gelandangan.

Katanya, kanak-kanak akan di ajar mengaji secara percuma oleh badan bukan kerajaan (ngo) tetap iaitu Street Mengaji yang sehingga kini telah mengumpulkan hampir 40 orang kanak-kanak miskin bandar.

“Sebenarnya pusat ini untuk budak-budak gelandangan belajar fardhu ain, mengaji al-quran, dan sembahyang. Majlis kesyukuran ini dilakukan sempena menyambut Ramadhan yang bakal tiba. Ini usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk beri semula pada rakyat.

“Ini salah satu usaha kita untuk beri kualiti kehidupan untuk warga Kuala Lumpur. Saya juga bercadang untuk mewujudkan lebih banyak pusat pembelajaran komuniti ini di sekitar Kuala Lumpur, bukan buka satu sahaja,”katanya kepada media selepas melancarkan pusat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandaraya KL, Anwar Mohd Zain, berkata pihak DBKL akan bertanggungjawab memastikan segala kemudahan di Pusat Pembelajaran Komuniti tersebut sentiasa terjaga untuk kegunaan komuniti setempat.

“Kita akan gunakan bangunan setinggi empat tingkat untuk kegunaan komuniti disini, tapi buat masa sekarang kita baru ubahsuai tingkat pertama. Kita sasarkan untuk melaksanakan program-program seperti kerohanian, kelas pendidikan seperti home school, dan sebagai pusat aktiviti Wanita, Ibu atau bapa tunggal.

“Mungkin kita akan adakan kelas menjahit dan memasak yang diadakan percuma untuk golongan gelandangan. Banyak ngo-ngo yang sudah mula datang kepada kami dan sanggup bekerjasama dalam pembangunan masyarakat disini. Kita sememangnya perlukan kepakaran mereka kerana kita hanya sediakan kemudahan,”katanya.

Sesi bergambar Datuk Bandar KL bersama anak anak miskin bandar dan gelandangan

Pandangan pengunjung

Seorang suri rumah, Suriani Aziera Sharill meluahkan rasa terima kasih dan syukur kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberikan bangunan setinggi empat tingkat untuk kegunaan pembelajaran al-quran buat kanak-kanak warga miskin bandar.

Katanya, faktor guru kelas mengaji yang mengenakan caj mahal untuk empat orang anaknya belajar al-quran menyebabkan beliau terpaksa untuk tidak menghantar anak-anaknya ke kelas mengaji.

“Sebelum ini, saya memang nak bawa anak saya untuk belajar mengaji di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) TamanĀ Wahyu. Tapi harga yang dikenakan sangat mahal sehingga RM50 satu orang. Saya ada empat orang anak dan saya tak mampu untuk bayar mahal.

“Jadi saya rasa pembukaan pusat ini sangat bertepatan dengan menjelangnya Ramadhan lebih-lebih lagi anak saya memang nampak bersemangat untuk belajar,” katanya.

Yuliyana Sofia Afi, 10 tahun, yang mengatakan dirinya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, faktor dirinya yang lambat membaca dan mengeja menjadikannya lebih bersemangat untuk belajar membaca Al-quran.

“Ibu dan doktor beritahu saya lambat belajar. Sampai sekarang saya tak tahu eja nama saya dan tak reti membaca. Tapi saya nak belajar kat sini sebab nak pandai mengaji,” katanya.

Fateeha Nur Syazwani Mohd Fariuz, 10 tahun, yang dilihat sangat aktif dan bertenaga meluahkan rasa gembira dengan pembukaan Pusat Pembelajaran Komuniti itu.

“Saya tak sabar untuk datang lagi kesini sebab lepas ni saya dah ada tempat mengaji. Lagi luas dan selesa. Saya dapat mengaji dan belajar bersama rakan-rakan,” katanya.

Keluasan pusat berkenaan dilihat mampu memuatkan lebih 50 orang kanak-kanak dalam satu masa. Beberapa buah rak buku juga disediakan yang dipenuhi buku-buku cerita untuk program pendidikan. Kelengkapan rehal serta Al-quran turut disediakan pusat berkenaan untuk kegunaan anak-anak yang ingin belajar.