Pusat santuari baru gajah RM20 juta dirancang di Perak

Pusat santuari baru gajah RM20 juta dirancang di Perak

Kerajaan akan mewujudkan sebuah pusat santuari gajah di kawasan seluas 100 hektar dengan kos kira-kira RM20 juta di Perak, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memulihara haiwan itu yang semakin terancam, selain sering berdepan konflik dengan manusia.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr Xavier Jayakumar berkata kawasan baharu itu adalah pusat santuari tambahan, selepas penubuhan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di Terengganu dan Santuari Gajah Johor di Kota Tinggi.

“Kerajaan dengan kerjsama kerajaan negeri Perak telah meluluskan cadangan pembinaan santuari baru ini, yang akan dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya pada satu persidangan media selepas merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2019 di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KATS Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) Datuk Feizal Mustapha.

Xavier seterusnya berharap negeri lain juga akan berminat untuk membangunkan pusat santuari gajah, yang dilihat dapat menyelesaikan konflik gajah dan manusia menerusi pelepasan haiwan berkenaan ke habitat semula jadi di pusat itu.

“Sebanyak 1,118 aduan konflik gajah dan manusia telah direkodkan di Semenanjung Malaysia bagi tahun 2016 hingga 2018. Berdasarkan kajian, terdapat 1,680 gajah di Semenanjung, manakala kira-kira 2,000 ekor di Sabah dan Sarawak.

“Program yang dilaksanakan Perhilitan juga berjaya menurunkan kerugian akibat konflik gajah dan manusia kepada 44 peratus dalam tempoh tiga tahun bermula 2015,” katanya.

Pada program itu, Dr Xavier juga mengumumkan pelantikan pelakon yang juga aktivis alam sekitar Maya Karin sebagai ‘The Voice of Wildlife’ untuk membantu KATS dan Perhilitan menjalankan aktiviti sukarelawan serta menyebarkan maklumat berkaitan pemuliharaan haiwan liar.

Beliau seterusnya melahirkan penghargaan kepada pihak swasta, badan bukan kerajaan dan individu persendirian yang turut membantu dalam pemuliharaan gajah dan hidupan liar lain serta berharap lebih ramai akan mengikut langkah tersebut.

Sebagai contoh, EXIM Bank menaja RM55,000 di bawah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam bentuk dua unit kaki ‘prosthetic’ gajah betina bernama Elly dan tajaan ubat serta peralatan pengurusan anak gajah.

— BERNAMA