Malaysia Dateline

Pusat sukan komuniti Sikh akan dibina di Selangor, kata Gobind

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata sebuah pusat sukan untuk komuniti Sikh akan dibina di Selangor tidak lama lagi.

Beliau berkata pusat itu bagi memenuhi keperluan masyarakat Sikh di negara ini amnya dan Selangor khususnya untuk mempunyai fasiliti sukan kerana mereka mempunyai acara sukan tahunan yang besar iaitu Gurdwara Cup yang masuk kali ke-68 tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam Gurdwara Cup Fund Raising di Kelab Golf Negara Subang malam tadi, Anggota Parlimen Puchong itu berkata acara sukan itu yang dianjurkan secara besar-besaran boleh menjadi medium kebersamaan yang sentiasa mendekatkan komuniti Sikh di negara ini.

“Acara malam ini bertujuan mengumpul dana dan sebagai sokongan bagi Gurdwara Cup yang amat penting kepada mereka (komuniti Sikh) di mana ia diadakan di negeri yang berlainan setiap tahun.

“Tahun ini, ia bakal berlangsung di Selangor pada Jun nanti. Ia juga acara kedua terbesar di Malaysia selepas Sukma kerana menghimpunkan semua komuniti Sikh bukan sahaja di Malaysia tetapi termasuk Singapura, Australia dan sebagainya,” katanya.

Gobind berkata Gurdwara Cup merupakan penganjuran yang besar dan memerlukan dana yang banyak, justeru beliau berharap ia mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor.

“Saya percaya kerajaan negeri akan menyokong penuh komuniti Sikh di Selangor serta menjayakan hasrat mereka ini. Sudah ada beberapa kawasan bagi pusat sukan itu tetapi tidak sesuai, kami akan cari yang bertepatan, usaha itu sedang dijalankan,” tambahnya.

Gobind turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk penganjuran Gurdwara Cup tahun ini dan berharap ia akan berlangsung dengan jayanya.

— BERNAMA