Pusat tahfiz amal diarah tutup beroperasi tanpa kebenaran

Pusat tahfiz amal diarah tutup beroperasi tanpa kebenaran

Sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani diarahkan ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran selain dipercayai mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dengan menggunakan nama agama bagi menarik simpati orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata hasil siasatan pihaknya mendapati pusat yang beroperasi sebagai pusat rawatan amal itu tidak berdaftar di bawah Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

“Jadi, kita mohon orang ramai jangan terpedaya dengan aktiviti pusat rawatan amal ini yang dilihat mempergunakan kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, tular dalam aplikasi WhatsApp satu video berdurasi 3 minit 37 saat yang antara lain memaparkan tulisan “211 anak yatim fakir miskin diarah kosongkan penempatan” selain merakamkan keadaan kanak-kanak perempuan menangis apabila mereka diarah berpindah keluar.

Dr Ismail berkata pihak pusat rawatan amal itu juga dikesan melanggar Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah 2008 kerana mengutip derma tanpa kebenaran.

“Hasil siasatan kita juga mendapati pihak pengurusan pusat rawatan amal ini menggunakan kanak-kanak untuk kutip derma tanpa kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri Kedah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata daripada jumlah keseluruhan penghuni pusat berkenaan seramai 211 orang, sebenarnya hanya 11 orang anak yatim sahaja.

Katanya pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan pergi ke pusat yang beroperasi di dalam bangunan rumah kedai itu esok untuk mengunci premis berkenaan sebagai tindakan lanjut.

“Kalau penghuni masih ada esok, yang mana ada ibu bapa kita akan serahkan mereka kepada ibu bapa mereka manakala yang baki 11 orang lagi ini, JKM akan tempat mereka di rumah perlindungan JKM dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Ismail memohon orang ramai berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan kisah sedih seumpama itu untuk meraih simpati orang ramai, sebaliknya perlu mengambil tindakan menyemak kesahihan operasi sesebuah pusat tahfiz terlebih dahulu.

— BERNAMA