Malaysia Dateline

Pusat tahfiz mahu terapkan nilai usahawan, kemahiran kepada pelajar

Acapkali apabila dikaitkan dengan Maahad Tahfiz, ramai akan beranggapan bahawa ianya adalah menghafaz Al Quran semata-mata.

Namun begitu menjelang sesi persekolahan yang akan datang tidak lama lagi inisiatif dan kelainan diambil oleh pimpinan Maahad Tahfiz Al-Quran Ummul Qura (MTUQ), Kota Kuala Muda melalui Program Pencarian Murid Pintar Agama dan Kemahiran 2021.

Menurut pengurus pentadbirannya, Suhaimi Md Zin, tawaran ini adalah terhad dan dilaksanakan secara percuma dengan tujuan untuk mencari murid pintar agama dan kemahiran yang dikendalikan oleh MTUQ sendiri.

Tegas beliau, pelajar berusia 13-17 yang diterima masuk akan turut didedahkan dengan kaedah bengkel kemahiran, pemasaran dan latihan perniagaan.

Selain itu ujar beliau mereka juga akan didedahkan dengan kemahiran mengenai komputer, gajet, jahitan dan lain-lain kemahiran.

“Proses pembelajaran turut merangkumi pemahaman dan penekanan terhadap pelbagai elemen rekabentuk, fungsi pembuatan dan pembentangan projek bagi produk domestik, komersial, korporat maupun yang dikhususkan.

“Tidak ada bayaran maupun yuran masuk yang dikenakan termasuklah makan dan minum ditanggung oleh pihak sekolah.

“Bagi merealisasikan peluang kemahiran kreatif yang disediakan oleh MTUQ, maka peluang ini adalah terhad dan dibuka untuk seluruh negara termasuk juga keutamaan kepada anak yatim, muallaf dan fakir miskin,” kata beliau.

Selain menghafaz Al Quran katanya, pendedahan kemahiran bagi tempoh dua tahun adalah khusus bagi melahirkan hafiz yang mampu berdikari dan membuka perusahaan sendiri selepas tamat pembelajaran mereka dalam bidang agama dan kemahiran tertentu yang disediakan oleh MTUQ.