Malaysia Dateline

Pusat tahfiz nafi lantik pihak ketiga kutip derma

Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah terbakar awal pagi kelmarin sehingga meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden.

Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah menafikan pihaknya melantik pihak ketiga untuk mengutip derma.

Timbalan Pengetuanya, Roslan Awang Ali berkata, pihaknya tidak pernah melantik pihak tertentu untuk mengutip derma bagi membantu pusat tahfiz itu yang terbakar awal pagi Khamis lalu, lapor Berita Harian.

Katanya, segala aktiviti kutipan dijalankan atas inisiatif pusat tahfiz itu sendiri melalui akaun atas nama Darul Quran Iftifaqiyyah.

“Kami tahu ada pihak yang memanipulasikan insiden sebegini dengan matlamat mahu mengisi kantung poket mereka sendiri.

“Kami juga ada terima aduan daripada seorang mak cik yang datang melawat tadi. Dia mendakwa ada individu datang ketuk pintu rumahnya kerana ingin mengutip derma atas nama Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah.

“Ada juga pihak tertentu, antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip derma tanpa kebenaran kami.

“Ingin kami tegaskan sekali lagi, kami tidak pernah melantik pihak ketiga,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, pihak yang mahu membuat sumbangan, boleh datang terus ke pusat tahfiz atau menyalurkan derma melalui akaun CIMB 8602299587.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus membantu, bukan sahaja dari aspek kewangan, malah psikologi.

Kebakaran awal pagi kelmarin meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz itu.

Ia merupakan tragedi kedua terburuk, selepas kebakaran di asrama Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, juga dikenali sebagai Pondok Pak Ya, di Padang Lumat, Yan, Kedah, pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar.