Pusat Tahfiz, Pondok: JAIPk perlu laksana audit

Salman Salleh

AMANAH Negeri Perak menyarankan agar Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) melakukan audit dalaman semua struktur bangunan yang menempatkan pelajar di semua Tahfiz Swasta dan Pondok yang telah berdaftar di negeri itu.

Setiausahanya Salman Salleh berkata, ia bertujuan untuk melihat aspek keselamatan bangunan dan juga penempatan adalah dijamin selamat.

Selain itu, AMANAH Perak turut mencadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Islam Negeri Perak agar membentuk satu Jawatankuasa Khas Pemantau yang terdiri daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pendidikan, Jabatan Bomba dan Jabatan Kesihatan bagi tujuan penyelarasan kelulusan bagi operasi Institusi Pendidikan tersebut.

“Kami merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli Keluarga mangsa yang terkorban di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur baru-baru ini serta merasa simpati atas apa yang berlaku. Semua pihak harus mengambil ikhtibar dengan kejadian yang sungguh menyedihkan ini.

“Dalam konteks negeri Perak, JAIPk merekodkan hampir 50 buah Tahfiz Swasta dan hampir 15 buah Pondok yang telah berdaftar bagi menjalankan operasi pendidikan aliran agama Islam.

“Yang menjadi persoalan kini ialah sejauh manakah isu keselamatan bangunan yang menempatkan semua pelajar tersebut diambil perhatian serius,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

JAIPk adalah agensi Kerajaan Negeri Perak yang bertanggungjawab dan yang memberikan kebenaran beroperasi Tahfiz Swasta dan juga Pondok di seluruh negeri Perak.

Katanya lagi, sudah tentu isu keselamatan bangunan ‘menghantui’ semua Ibubapa dan Penjaga pelajar yang menghantar anak atau jagaan mereka di Institusi Pendidikan tersebut selepas apa yang berlaku baru-baru ini.

Sebagai rekod dalam kejadian pada Jumaat lalu, seramai 22 pelajar tahfiz dan dua guru terkorban dalam nahas kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Polis berjaya menahan tujuh suspek yang kini ditahan remen menjadi punca kepada kebakaran berlaku yang mendapat liputan media dan perhatian semua pihak untuk lebih peka terhadap kelemahan pentadbiran dan pengurusan di kalangan pengusaha sekolah tahfiz, pondok di
negara ini agar kejadian sama tidak lagi berulang.

CATEGORIES
TAGS