
Pusat Tuisyen Rakyat bakal diwujudkan di Dun Batu Kitang
Sebuah Pusat Tuisyen Rakyat bakal diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Kitang,Kuching.
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Abdul Aziz Isa berkata, cadangan mewujudkan Pusat Tuisyen Rakyat adalah bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya golongan B40 di seluruh kawasan Dun Batu Kitang bagi mendapatkan akses pembelajaran di luar masa sekolah secara percuma.
Katanya, cadangan tersebut akan dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Stampin merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Chong Chieng Jen dalam masa terdekat ini.
“Kita berharap agar cadangan menubuhkan Pusat Tuisyen Rakyat bagi pelajar-pelajar di Dun Batu Kitang akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.
“Tujuannya ialah supaya pelajar-pelajar khususnya yang datang dari keluarga kurang berkemampuan terutamanya dari golongan B40 dapat menghantar anak-anak mereka secara percuma” katanya.
Aziz yang juga merupakan Pengerusi DAP Cawangan Batu Kitang berkata, cadangan berkenaan adalah munasabah memandangkan belum pernah ada pusat tuisyen percuma disediakan di kawasan Dun Batu Kitang.
Aziz berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan dana Ahli Parlimen Stampin kepada sekolah-sekolah di dalam Dun Batu Kitang di Kuching hari ini.
Menurut beliau, dengan wujudnya pusat tuisyen berkenaan, ia akan dapat melahirkan ramai pelajar yang cemerlang di samping keprihatinan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam mengambil berat tentang pelajaran anak-anak di kawasan luar bandar.
Beliau menambah lagi, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk melihat keperluan pendidikan dan pembangunan sekolah dijaga sepenuhnya sekali gus memastikan prestasi pelajar-pelajar di setiap 12 sekolah di kawasan Dun Batu Kitang berada di tahap yang amat memuaskan setanding dengan peredaran zaman.
“Semoga suatu hari nanti, kita akan dapat melihat ramai anak-anak di Dun Batu Kitang melahirkan pelajar yang cemerlang dan mampu menjadi seorang ikon dalam apa juga bidang diceburi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Aziz berkata pihaknya telah mengenalpasti sekolah yang akan dijadikan pusat sukan di kawasan Batu Kitang.
“Kita sudah mengenal pasti sekolah yang akan dijadikan sebagai pusat sukan khas untuk pelajar di kawasan ini dan setakat ini, kita merasakan SK Jalan Arang mempunyai kriteria untuk dijadikan pusat sukan bagi sekolah-sekolah di kawasan Dun Batu Kitang,” katanya.
Attachments area