Malaysia Dateline

Pusingan-U had PM dua penggal: PN sia-siakan peluang Reformasi

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mengutuk tindakan kerajaan yang menarik semula Rang Undang-Undang (pindaan) yang meletakkan had tempoh maksima bagi seorang Perdana Menteri memegang jawatan.

Ia susulan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan yang memohon penarikan itu dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Menerusi kenyataan bersama, PH berkata, Perikatan Nasional (PN) mensia-siakan peluang keemasan untuk negara melaksanakan reformasi apabila dengan mudah menarik pindaan yang pernah dicadangkan semasa pentadbiran PH.

“Usaha meminda RUU tersebut demi memastikan seorang individu tidak memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh terlalu lama yang memungkinkan dia mengambil kesempatan ke atas kedudukan tersebut selama memegang jawatan politik utama negara.

“Ini termasuk kemampuan menutup penyelewengan yang dilakukannya.

“Secara tidak langsung juga, pindaan itu diharap akan dapat memberi peluang kepada lebih ramai pimpinan politik baharu untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan menutup kemungkinan budaya pendewaan seseorang pemimpin,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat antara Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad; Pengara Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; dan DAP, Liew Chin Tong.

Terdahulu, RUU (Pindaan) (No 2) 2019 itu telah dibentangkan oleh bekas Menteri Undang-undang, Datuk Liew Vui Keong untuk bacaan kali pertama pada 3 Disember tahun lalu.

Ia bertujuan untuk menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung dengan kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika dia pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen.

Bagaimanapun, Takiyuddin ketika bangun untuk mencadang berkata, penarikan semula dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab persidangan pagi tadi

Justeru kata PH, sikap pusingan-U yang dilakukan PN ini membuktikan bahawa kerajaan tiada falsafah perjuangan.

Malah katanya, mereka hanya berminat memegang kuasa, dan tidak mempunyai wawasan atau visi yang lebih besar untuk memastikan demokrasi sentiasa subur di bumi Malaysia.