Malaysia Dateline

Pusingan U Moratorium: ‘Hadiah’ PN di Hari Pekerja

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan pengumuman pusingan U moratorium yang diumumkan semalam, adalah hadiah daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sempena Hari Pekerja hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin secara sinis berkata, Hari Pekerja di musim Covid-19 ketika ini tidak lagi memberikan makna kepada kaum pekerja.

“Sudahlah para pekerja ditekan dengan cuti tanpa gaji dan hilang punca pendapatan, Hari Pekerja kali ini pula kerajaan hadiahkan ‘pusingan U’ yang jelas sangat membebankan.

“Dengan penuh hormat bersempena hari yang bermakna ini, kami menggesa kerajaan merombak keputusan ini.

“Rombak dan aplikasikan moratorium tanpa faedah dan caj keuntungan tambahan bagi pembiayaan sewa beli dan pembiayaan Islamik,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shazni Munir menambah, keputusan kerajaan melalui BNM mengenai moratorium pinjaman bank amat mengecewakan rakyat.

Bahkan katanya, dalam sidang media hari ini, tiada sebarang perubahan yang diumumkan Perdana Menteri terhadap keputusan BNM semalam.

Sementara itu, dalam isu sama, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang pula mengecam sekeras-kerasnya pusingan U moratorium yang merupakan satu penganiayaan PN terhadap rakyat jelata.

Beliau berkata, keputusan itu hanya akan membebankan para peminjam dan menguntungkan industri perbankan.

Katanya, dua pilihan yang diberikan kepada peminjam amat tidak munasabah dan jika peminjam berupaya untuk membayar balik penangguhan ansuran terkumpul enam bulan secara sekali gus, mereka tidak perlu mengambil moratorium.

“Maka, kebanyakan peminjam terpaksa memilih pilihan kedua, iaitu melanjutkan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang kontrak dan dikenakan faedah tambahan.

“Dalam keadaan di mana kebanyakan rakyat hidup dalam kesengsaraan, keputusan kerajaan untuk membuat pusingan U tentang perkara ini amat mengecewakan.

“PN telah menyediakan hadiah Hari Pekerja yang paling pahit kepada kaum pekerja di dalam negara kita,” bidasnya.

Bagaimanapun, menerusi kemas kini dan pengumuman terbaharu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pada 2 Mei menyarankan semua institusi kewangan khususnya yang terbabit dalam moratorium untuk mempertimbang bagi melupuskan kadar faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) sepanjang tempoh enam bulan skim tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan sedia bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan itu.
Kenyataan beliau itu dibuat berikutan timbulnya kekeliruan umum mengenai kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.
“Antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat,” katanya menerusi catatan terbarunya di laman Facebook beliau seperti dipetik Bernama.
Menerusi pengamatan wartawan, orang awam mendakwa pihak BNM membuat pusingan u atau ‘u turn’ dipercayai akibat kekeliruan yang timbul mengenai kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium tersebut.