Puteri Balqis kesal ibu difitnah ambil ‘barang’, Fazura tampil titip kata-kata semangat

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon remaja, Puteri Balqis menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas meluahkan kekesalannya terhadap sikap segelintir netizen yang suka meninggalkan komen negatif termasuk memfitnah ibunya mengambil barang terlarang.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, Puteri Balqis memaklumkan komen sedemikian boleh meninggalkan kesan dan menimbulkan kebimbangan ekoran khuatir ibunya mengambil tindakan di luar jangkaan.

Dalam hantaran sama, pelakon berusia 17 tahun itu turut berkongsi tekanan dihadapi ibunya berikutan mengalami masalah kesihatan mental yang telah disahkan oleh lapan doktor pakar di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM).

Pelakon yang mesra disapa Aqish itu turut bersedia untuk bersemuka dengan pemfitnah berkenaan kerana ibunya sudah berkali-kali melakukan ujian air kencing, namun disahkan tidak mengambil barang terlarang tersebut.

“Ini ubat tekanan dia. Kalau dia telan semua ini semalam, kau nak ganti balik mak aku? Sampai hentak kepala dia dekat dinding, sampai melompat-lompat macam orang gila. Aku ada kerja ini. Kau ingat, aku boleh kerja dengan tengok mak aku begini?.

“Kau tak faham perasaan bila tengok mak kau kena fitnah, kena hina. Kau boleh jumpa aku depan-depan. Boleh jumpa dengan pengurus aku, boleh pergi suruh mak aku buat ujian air kencing. Mak aku dah berapa kali ulang alik balai polis buat ujian air kencing sebab komen-komen bodoh begini.

“Di Malaysia ramai orang yang bijak. Kau ingat doktor itu bodoh sangatkah? Mak aku ulang alik hospital ambil darah, ambil air kencing. Ingat tak dapat kesankah kau ada dadah atau tak?,” kata Puteri Balqis dalam hantaran yang kini sudah dipadam.

Susulan penularan perkongsian itu, pelakon popular iaitu Nur Fazura tampil memberikan kata-kata semangat buat Puteri Balqis dan ibunya supaya kekal kuat menerusi satu hantaran di Instagram Story.

Dalam hantaran itu, Fazura berkongsi rasa kecewa kerana segelintir individu gemar meninggalkan komen sesuka hati tanpa berfikir panjang terutamanya mengenai akibat dan kesannya terhadap perasaan orang lain.

“Ruginya manusia yang tidak memandang kiri kanan atau hari esok apabila berkata. Hanya tahu sedap mulut dan tangan nak menulis tanpa fikirkan perasaan orang lain dan akibatnya.

“Bagaimana kalau ini terjadi pada diri sendiri pula? Pernah terfikir tak? Jadi gunalah otak, hati dan ilmu. Jangan sedap menghukum sahaja tanpa tahu kebenaran sebenar. Kekal kuat adikku! Percaya pada Allah sentiasa melihat dan mendengar.

“Setiap perbuatan pasti ada balasannya. Semoga yang bersalah sempat minta maaf atas perbuatan fitnah ini dengan ibu Balqis dan anak-anaknya. Jika tidak, jawablah dengan Allah SWT. Semoga kita ambil pengajaran dan menjauhi sifat-sifat syaitan.” Kesalnya.

Baca juga: “Dengarlah cakap aku jangan buang masa bercinta dengan lelaki buruk”, Anju naik angin dekat siapa?