Malaysia Dateline

Puteri Umno anggap Mahathir sebagai penasihat kerajaan PN

Seorang pemimpin sayap wanita muda dalam Umno menyifatkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Exco Puteri Umno Malaysia, Dr Masliha Harun berkata demikian ketika mengulas kehadiran Ahli Parlimen Langkawi itu dalam majlis Menteri Pembangunan Luar Bandar kelmarin.

“Siapa kata beliau (Mahathir) pembangkang? Bagi pendapat saya, beliau sebenarnya adalah Penasihat Kerajaan PN kalau dah ini gayanya.

“Dalam istilah politik, inilah yang dipanggil ‘political mastermind’,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Untuk rekod, Puteri Umno dilancarkan pada 3 Ogos 2001 oleh Mahathir yang ketika itu Presiden Umno dengan ketua yang pertama ialah Datuk Seri Azalina Othman.

Mengulas lanjut kehadiran pemimpin pembangkang dalam program kementerian, Masliha berpendapat masyarakat kini terlalu berpolitik dan sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa sehingga terlupa apa yang patut menjadi fokus utama Malaysia untuk bergerak ke hadapan.

Masliha Harun

“Semuanya bermula dengan kejatuhan Umno dan Barisan Nasional, politik dendam, politik kebencian yang dimainkan mereka ini membuatkan kita merasa begitu benci dan marah kini.

“Hari ini juga bukan mudah untuk mereka nak minta kita memaafkan rakan-rakan mereka begitu sahaja dan terima dengan mudah gabungan yang mereka telah sediakan atau rancangkan,” ujarnya.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli itu turut menyenaraikan empat ciri yang perlu ada pada individu untuk layak memegang jawatan Perdana Menteri selepas ini.

Jelasnya, calon Perdana Menteri perlu mengembalikan kemakmuran ekonomi negara, polisi kebajikan rakyat, hubungan baik Malaysia dengan negara lain bagi menarik kepercayaan pelabur luar negara serta mengembalikan perpaduan rakyat.

“Kita seharusnya mengetepikan perbezaan dan berfikir secara rasional siapakah yang patut diberikan mandat ini.

“Kita telah banyak belajar semenjak Mei 2018 juga mengenai impak dan implikasinya,” kata Masliha lagi merujuk pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan kejatuhan Umno-BN buat pertama kali sebagai parti pemerintah.