Puteri Umno potong pulut kuning di Istana Budaya

Puteri Umno potong pulut kuning di Istana Budaya

Prebiu teater muzikal berjudul ‘Mencari Sumaiyah’ di Panggung Sari, Istana Budaya malam tadi menyaksikan kehadiran ramai pemimpin dan ahli Puteri Umno meraikan ulang tahun ke-15 penubuhan sayap wanita muda parti itu.

Di akhir pementasan teater lebih dua jam itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berserta gerombolannya memotong pulut kuning sambil diiringi lagu rasmi pertubuhan tersebut.

Turut hadir Exco Pergerakan Wanita Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Pementasan ‘Mencari Sumaiyah’ dilaporkan sebelum ini sebagai “tayangan amal” dengan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno, 29 Julai lalu.

Erra Fazira yang mendukung watak Sumaiyah bersama barisan pelakon dan kru mengambil tempoh hanya seminggu untuk persiapanTayangan amal itu bagi mengisi Tabung Prihatin Puteri Umno dan sebahagian daripada hasil kutipan jualan tiket serta tajaan akan diserahkan kepada tabung tersebut.

Terdahulu, naskhah teater hasil kerjasama syarikat produksi, Hyper Pictures Sdn. Bhd. dan Tall Order Sdn. Bhd. itu menampilkan barisan artis Erra Fazira, Sherry Al-Hadad, Nadia Aqilah, Ruzana Ibrahim dan Aisya Hasnaa.

Hasil sulung pengarahan pelakon Dira Abu Zahar yang juga Pengerusi Biro Pembangunan Kreatif Puteri Umno ini akan dipentaskan sehingga 14 Ogos.

Dilihat cuba lari daripada kelaziman imej wanita yang hanya menjadi mangsa penindasan, naskhah teater berasaskan skrip Junad M.Nor ini membawa nilai persahabatan dan semangat tinggi wanita muda di kampung untuk memajukan diri dalam bidang jahitan.

Tiket-tiket berharga RM40, RM60, RM80, RM100, RM130 dan RM150 boleh didapati menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com atau untuk maklumat lanjut hubungi talian 03-40265558.