Puting beliung musnahkan lapan rumah di Alor Setar

Puting beliung musnahkan lapan rumah di Alor Setar

Sebanyak lapan buah rumah mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung diterbangkan angin dalam kejadian puting beliung di Kampung Padang, Mukim Tajar di sini, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten Md Zain Baharom berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan lapan keluarga dengan 54 mangsa terjejas.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6.30 petang dan bergegas ke lokasi bagi memberikan bantuan.

“Pagi ini pula kita ke lokasi bertemu penghulu mukim Tajar untuk membincangkan keperluan gotong-royong dan membantu penduduk yang terjejas kerana kebanyakan rumah musnah teruk.

“Alhamdulillah setakat ini kita dilaporkan tiada penduduk yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, penduduk terlibat, Zulkisfali Salleh, 60, yang menceritakan kejadian itu berkata dia bersama isteri dan lima ahli keluarganya yang lain terpaksa keluar berlindung di luar rumah bagi mengelak ditimpa kayu dan bumbung.

Katanya, kejadian angin berputar itu berlaku hanya dalam tempoh seminit dan menerbangkan keseluruhan bumbung rumahnya.

“Masa itu cuaca mendung dan kami sedang berehat sementara menunggu waktu asar…tiba-tiba bunyi dentuman kuat disertai deruan angin dari arah tepi rumah dan dengan sekelip mata bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin,” katanya yang menganggarkan mengalami kerugian hampir RM8,000 disebabkan kejadian itu.

Ahmad Basir Harun, 49, pula berkata ketika kejadian dia ke rumah kenduri di Kuala Kedah dan dimaklumkan anaknya, Siti Nur Faizah, 16, mengenai kejadian itu yang turut nyaris menghempap anaknya.

“Saya bersyukur Nur Faizah cepat keluar dari rumah, kalau tidak dia mungkin dihempap batu bata dan kayu siling yang roboh selepas bumbung rumah diterbangkan angin, walaupun kerosakan dianggarkan lebih RM10,000, saya bersyukur dia selamat,” katanya.

Tinjauan Bernama ke lokasi kejadian mendapati, kebanyakan zink berselerak di sekitar bendang dan ada yang tersangkut di atas pokok kelapa yang terletak sejauh kira-kira 50 meter dari rumah penduduk.

— BERNAMA