Putra buat laporan polis terhadap himpunan desak bebas Wan Ji

Putra buat laporan polis terhadap himpunan desak bebas Wan Ji

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini membuat laporan polis terhadap 30 aktivis yang didakwa terlibat dalam satu perhimpunan di hadapan penjara Kajang yang mendesak kerajaan membebaskan penceramah, Wan Ji Wan Hussin.

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, aktivis yang diketuai oleh Pengarah Akademik Saudara, Lim Hong Siang dan Pengerusi Bersih, Thomas Fann dipercayai mengeluarkan kenyataan bersifat jenayah.

Ibrahim Ali ketika ditemui Malaysia Dateline di hadapan IPD Dang Wangi.

Tegasnya, kenyataan yang dikeluarkan telah menghina mahkamah Tinggi Shah Alam yang telah memutuskan untuk memenjara Wan Ji selama setahun.

“Mereka telah melakukan jenayah menghina Raja-Raja Melayu apabila menyatakan sokongan terhadap Wan Ji, seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan menghina Sultan Selangor.

“Mereka juga melakukan jenayah menghasut apabila mendesak Kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan memperlekehkan keberkesanan Akta tersebut dalam memelihara keharmonian rakyat.

“Mereka berhujah bahawa hukuman tidak seharusnya dikenakan kerana akta tersebut dalam proses dihapuskan. Ini semua andaian. Ada juga yang kata akta hasutan digantung, sebenarnya tidak betul.

“Untuk menggantung atau hapus akta ini, sebelum dibawa ke parlimen ia mesti mendapat ampun perkenan Majlis Raja-raja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi di ibu negara hari ini.

Sementara itu, peguambela dan peguam cara Azzam Aziz berkata, hukuman yang dijatuhkan terhadap Wan Ji merupakan keputusan pihak mahkamah dan telah dipertimbangkan oleh Hakim.

Azzam Aziz

“Mahkamah dah buat keputusan malah hakim telah buat pertimbangan sebelum membuat keputusan terhadap sabitan satu tahun kepada Wan Ji.

“Apabila keputusan dikritik, Hakim tiada peluang bela diri. Jadi ini semua dianggap jenayah menghina mahkamah.

“Mereka tak perlu guna media untuk sebar kebencian dan bawa mesej salah iaitu tak mengapa untuk hina raja asalkan hak kita diberi perlindungan’.

“Akta Hasutan untuk mengawal kebebasan bersuara yang mana kalau diberi kebebasan secara mutlak akan merosakkan negara kita sendiri,” tambah Azzam lagi.