Malaysia Dateline

Putra desak tubuh jawatankuasa khas, siasat kematian 12 Orang Asli

 

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat tragedi kematian 12 orang asli akibat minum air tercemar.

Presiden Putra, Datuk Dr  Ibrahim Ali berkata, jawatankuasa khas terbabit hendaklah ditubuhkan segera dalam masa dua hari mulai hari ini bagi menyiasat secara telus punca kejadian itu.

Beliau berkata, orang asli mendakwa air menjadi kotor dan beracun ekoran aktiviti pembalakan yang dijalankan, sekali gus menyumbang kepada kematian 12 orang asli tersebut.

Katanya, jawatankuasa bebas itu adalah langkah pertama tindakan segera, dan hasilnya boleh diguna pakai bagi menentukan tindakan selanjutnya demi keadilan dan menjamin keselamatan Orang Asli.

“Laporan bedah siasat oleh doktor perubatan terhadap 12 mangsa ini juga wajib didedahkan kepada umum tanpa berselindung. Laporan itu dilihat berpotensi membantu mengenal pasti punca kematian Orang Asli terbabit, sebagaimana yang didakwa mereka iaitu air kotor.

“Jawantakuasa bebas itu mestilah terdiri daripada doktor pakar, pihak keselamatan, pihak perundangan dan tokoh berwibawa termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga wakil masyarakat orang asli.

“Kami melihat tragedi ini amat serius dan mesti diklasifikasikan sebagai isu nasional. Tanpa siasatan dilakukan, kerajaan Kelantan juga pantas menafikan kejadian ini tiada kena mengena dengan keracunan akibat aktiviti pembalakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim menegaskan tiada mana-mana pihak yang boleh terkecuali dalam kejadian menyayat hati ini.

“Kerajaan Kelantan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHOA) dan agensi kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan secara langsung atau pun tidak langsung perlu bertanggungjawab di atas kejadian ini.

“Kaum Orang Asli adalah bumiputera iaitu orang asal Malaysia dan mereka tidak wajar menerima layanan yang tidak sepatutnya,” katanya lagi.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, seramai 13 penduduk orang asli suku kaum Bateq  di Kuala Koh,  Gua Musang, Kelantan termasuk seorang kanak-kanak berusia 1 tahun didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri tersebut.

Rata-rata penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh kini hidup dalam kebimbangan apabila seorang demi seorang saudara mereka meninggal dunia dan mereka seolah-olah “menunggu masa kematian”.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Taufik Maidin berkata kedua-dua mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dunia pada 29 Mei lepas.

Gadis berusia 21 tahun yang meninggal dunia jam 4 petang semalam di kampung tersebut, adalah kerana jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan batuk teruk.