Malaysia Dateline

Putra komited mahu bantu Imigresen, PDRM buru pelancong asing tinggal lebih masa

 

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa bagi membincangkan secara menyeluruh terutamanya bantuan yang boleh disalurkan bagi memburu pelancong asing yang duduk di negara ini melebihi tempoh ditetapkan.

Naib Presiden Putra, Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pertemuan itu akan diadakan dengan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Ketua Polis Negara sebagai perbincangan awal daripada skuad yang dinamakan Skuad Sukarelawan Putra.

“Kita (Skuad Sukarelawan Putra) hanya sebagai orang tengah untuk membekalkan maklumat risikan kepada pihak berkuasa tentang pelancong asing yang duduk melebihi masa ditetapkan.

“Kalau boleh skuad ini diterima sebagai pasukan sandaran (back up team) dalam operasi memburu pelancong asing ini. Kumpulan pertama adalah pihak polis dan imigresen, manakala kami di belakang pasukan RELA.

“Kalau mereka (pihak berkuasa) menasihatkan kami untuk masuk RELA, kita masuklah. RELA ada bajet dan peruntukan mereka sendiri, mungkin tak ambil orang lagi, tetapi konsep kami ialah sukarelawan iaitu tiada uniform, tetapi memantau bagi pihak kerajaan.

“Namun, kesemua konsep gerak kerja itu tertakluk kepada pertemuan kami dengan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud) dan juga Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) nanti,” katanya dalam satu sidang media di Koperasi Guru-Guru Malaysia Berhad (KGMB), hari ini.

Khairul Azam Abdul Aziz

Setakat jam 11.15 pagi tadi, Khairul Azam yang juga Pengerusi Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Putra turut memaklumkan, seramai 2,012 orang telah mendaftar sebagai sukarelawan Putra.

“Pelbagai kaum dan latar belakang sudah mendaftar dengan kami, malah angka itu (2,012) telah melebihi jumlah sasaran awal kami iaitu 1,000 orang sahaja.

“Sambutan untuk menjadi Skuad Sukarelawan Putra sangat menggalakan, namun saya dan Presiden (Datuk Dr Ibrahim Ali) akan memastikan skuad ini bukanlah kumpulan pengacau,” katanya lagi.

Walaupun sambutan keahlian dilihat menggalakan, namun Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, pihaknya tetap akan membuat tapisan bagi memastikan ahli skuad benar-benar mahu membantu kerajaan.

“Putra akan buat tapisan. Kita juga takut kalau ‘terbuka’ tanpa kawalan, kami juga yang akan menghadapi risikonya jika apa-apa berlaku nanti. Hanya sukarelawan yang melepasi tapisan keselamatan akan diberikan tugas,” ujar Ibrahim yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas.

Pada 3 Disember lalu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang berat isu jumlah yang tinggi melibatkan pelancong dari China dan India yang tinggal melebihi tempoh di negara ini, seperti yang dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya telah menyerahkan perkara berkenaan kepada JIM untuk diteliti.

“Ada perkara boleh dijelaskan… Yang penting bila sebut ada (pelancong) tak balik, duduk lebih masa, JIM akan susun (kesan) nak tahu di mana mereka berada.

“Tindakan berdasarkan undang-undang imigresen akan dikenakan terhadap mereka, kita nak pastikan bila seseorang berada di negara ini, mesti berada dalam tempoh dibenarkan oleh JIM,” katanya.