Malaysia Dateline

Putra kutuk sebarang salah guna Akta Amla jika babitkan agenda tersembunyi

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengutuk sebarang penyalahgunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) oleh pihak kerajaan jika mempunyai agenda tersembunyi.

Naib Presiden PUTRA, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata pihaknya tidak bersetuju jika Akta AMLA digunakan untuk tujuan menyeksa dengan membekukan akaun bank musuh politik.

Beliau berkata, akta itu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk membankrapkan, mengharamkan penubuhan atau menggulung syarikat yang mungkin menerima wang itu secara bona fide daripada sumber.

“Sama ada Akta AMLA ini disalah guna atau pun tidak, keputusan kes saman sivil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendedahkan semuanya nanti.

“Kami juga mendesak agar pihak Peguam Negara segera mendakwa mana-mana pihak berkaitan isu 1MDB yang sehingga kini tiada satu pun dakwaan dilakukan walau telah memerintah lebih setahun.

“Kegagalan kerajaan mengheret penjenayah 1MDB ke muka pengadilan hanya menyebabkan pihak lain seperti 41 individu dan entiti itu menjadi mangsa keadaan.

“Walhal penjenayah yang dikaitkan dengan 1MDB masih belum didakwa. Selagi mahkamah belum mensabitkan kesalahan, maka belum terbukti wang itu dari sumber haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairul Azam turut membayangkan kemungkinan masalah akan timbul sekiranya 41 individu dan entiti itu, gagal membayar semula wang berkenaan.

Pengerusi Biro Undang-Undang PUTRA itu berkata, masalah yang mungkin timbul adalah wang itu telah habis digunakan oleh 41 individu berkenaan.

“Jika mahkamah mengarahkan wang itu dikembalikan kepada kerajaan, tetapi kesemua mereka tidak mampu memulangkannya, mereka berisiko untuk dibankrapkan, dibatalkan pendaftaran atau penggulungan syarikat.

“PUTRA akan memantau rapat segala prosiding mahkamah berkaitan saman pelucuthak oleh SPRM ini dan akan terus lantang menegur jika kelihatan sebarang unsur penindasan tidak wajar terhadap musuh politik.

“Kami juga melihat terdapat asas undang-undang yang baik bagi kedua-dua pihak (menuntut dan dituntut) untuk berjaya dalam kes masing-masing.

“Jika terbukti di mahkamah wang dari sumber 1MDB itu adalah milik negara yang diselewengkan kerajaan terdahulu, PUTRA menyokong penuh tindakan kerajaan untuk mendapatkan semula wang milik rakyat itu,” katanya lagi.