Malaysia Dateline

Putra, Perkasa merafak sembah YDP Agong ke-16

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) merafak sembah junjung kasih dan setinggi ucapan tahniah ke atas Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presidennya, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali yang mewakili Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra dan barisan kepimpinan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan, baginda seorang raja yang berjiwa rakyat.

Katanya, baginda yang mewarisi darah daging Almarhum Sultan Ahmad Shah yang terkenal dengan prinsip Raja dan Rakyat berpisah tiada, dapat diibaratkan sebagai di mana tumpah nya kuah kalau tidak ke nasi.

“Bagi memukadimah bicara, patik mewakili pihak Putra dan Perkasa Malaysia mempersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih serta taat setia kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sempena pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 16 yang penuh beristiadat

“Putra dan Perkasa penuh yakin Negara dan Rakyat akan dilimpah keberkatan Allah di bawah naungan sepanjang pemerintahan DYMM YDP KE16.

“Semua Rakyat hendaklah wajib taat setia dan berdiri teguh bersama baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berkata, Raja Berperlembagaan adalah salah satu institusi pemeritahan negara bersama Demokrasi Berparlimen.

Menurutnya, masing-masing mempunyai peranan seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

“Parlimen berkuasa membuat undang-undang dan kerajaan melaksanakan tugas dan baginda Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu bertindak semak dan imbang.

“Maka sebab itu perkara-perkara penting yang termaktub dalam Perlembagaan mesti mendapat Ampun Perkenan baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja2 Melayu.
Inilah ikrar keramat dan persetujuan sebelum Persekutuan Tanah Melayu Merdeka 1957.

“Putra dan Perkasa melafazkan ikrar dan sumpah mempertahankan ke titisan darah terakhir sehingga kiamat bahawa sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berpalimen dan Persetujuan Sosial Kontrak akan di pertahankan membujur lalu melintang patah dimata hujung keris Taming Sari,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, rakyat wajib memperkasakan dan mendaulatkan Fasal 153 dan Fasal-fasal yang berkaitan dalam Perlembagaan Negara.

a.