Putrajaya kawasan larangan penerbangan Dron

Putrajaya kawasan larangan penerbangan Dron

Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, merupakan salah satu kawasan larangan penerbangan untuk aktiviti penerbangan dron setelah mengambil kira faktor keselamatan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata ini berikutan kawasan itu menempatkan bangunan kementerian, pejabat dan kediaman rasmi perdana menteri serta timbalan perdana menteri.

“Putrajaya kawasan larangan penerbangan. Aktiviti penerbangan termasuk helikopter dan dron perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain kelulusan KDN, individu yang memohon untuk menjalankan aktiviti penerbangan dron juga perlu mendapat kelulusan daripada DCA kerana ia perlu mengikuti ketinggian yang ditetapkan, iaitu tidak melebihi 400 kaki,” katanya.

Azharuddin ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Bersama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)-Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO)untuk Memperkukuh Keselamatan dan Kemudahan Kargo Udara di sini hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada 15 Julai lepas bahawa semua aktiviti membabitkan penerbangan dron perlu mendapat kelulusan DCA.

PPj berkata penganjur perlu mendapatkan surat kebenaran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri kerana kawasan Putrajaya tertakluk di bawah Kawasan Sasaran Penting Malaysia.

Azharuddin berkata selain Putrajaya, kawasan larangan penerbangan dron juga termasuk Parlimen, Istana Negara, Kuala Lumpur City Centre dan lapangan terbang.

TAGS