Pusat kutip cukai Sarawak, mengapa Adenan tolak isu nasional

Pusat kutip cukai Sarawak, mengapa Adenan tolak isu nasional

"Sarawak adalah sebahagian dari persekutuan dan Putrajaya mengutip begitu banyak cukai termasuk GST dari rakyat Sarawak, jadi mengapa Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem larang kami membangkit isu pusat dan membincangkan isu tempatan saja dalam pilihan raya negeri kali ini?," soal Timbalan Presiden Amanah, Haji Salahuddin Ayub pada sidang medianya petang ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

“Sarawak adalah sebahagian dari persekutuan dan Putrajaya mengutip begitu banyak cukai termasuk GST dari rakyat Sarawak, jadi mengapa Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem larang kami membangkit isu pusat dan membincangkan isu tempatan saja dalam pilihan raya negeri kali ini?,” soal Timbalan Presiden Amanah, Haji Salahuddin Ayub pada sidang medianya petang ini.

Tujuan calon Amanah masuk bertanding katanya adalah mewakili suara rakyat untuk memberikan tekanan kepada kerajaan negeri supaya menggunakan pengaruhnya untuk kebaikan rakyat Sarawak.

Oleh itu menurut beliau, polisi yang diambil Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem agar tidak membangkit isu pusat tetapi membincangkan isu tempatan saja dalam pilihan raya negeri kali ini adalah satu polisi yang silap.

“Ini kerana Sarawak adalah sebahagian dari persekutuan di mana apa yang dibuat di Putrajaya akan memberikan kesan kepada seluruh rakyat Sarawak. misalnya isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dasar Kabotaj dan juga skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bagi kami semua polisi dan apa yang berlaku dan dibuat di Pusat membebankan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

“Lihat apa yang berlaku kepada GST.

“Siapakah dari kalangan rakyat Sarawak tidak merasai bebanan dari sistem cukai yang dibuat oleh Putrajaya ini?, soalnya

Semua calon-calon yang dikemukakan Amanah menurut beliau akan menjalankan tugas ini jika diberikan mandat oleh rakyat.

“Kami akan pastikan kerajaan negeri baru nanti menjalankan tugas dengan penuh kesedaran untuk kebaikan rakyat bukan untuk menjaga kuasa semata-mata,” katanya.

“Mereka akan menjalankan tugas untuk pastikan kerajaan negeri akan menggunakan segala pengaruhnya untuk menentang dasar-dasar dan amalan tidak baik yang dibuat oleh pusat bukannya menyapu di bawah karpet segala masalah yang dibuat oleh pusat sebagaimana yang dicadangkan oleh Tan Sri Ketua Menteri itu.

“Atas dasar ini, kami bersama-sama dengan wakil PKR dan DAP akan memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak.

“Kami juga ingin mengingatkan bahawa Sarawak adalah antara negeri yang terkaya di Malaysia, namun cukup mengecewakan, negeri Sarawak kekal antara negeri yag tercorot dari sudut pendapatan perkapita di seluruh Persekutuan,” katanya

Semua ini menurut beliau akibat ketirisan pentadbiran yang ada dan wakil Amanah jika terpilih nanti akan memastikan perkara ini tidak akan berulang lagi.

Pembangkang yang kuat katanya akan memastikan ketirisan yang berlaku sepertimana di Putrajaya (mengikut laporan Ketua Audit Negara) tidak akan berterusan di bawah pentadbiran kerajaan Sarawak yang baru nanti.

“Calon-calon yang kami kemukakan juga bersedia untuk mewakili wajah Sarawak. Atas dasar itulah kami kemukakan calon dari pelbagai latar belakang, profesional, agamawan, wanita, aktivis orang kelaian upaya (OKU) dan sebagainya, semuanya untuk Sarawak.

“Kami yakin hanya pembangkang yang kuat saja dapat menyelamatkan Sarawak,” katanya.

TAGS