Putrajaya sanggah laporan PBB, Anwar bukan tahanan politik

Putrajaya sanggah laporan PBB, Anwar bukan tahanan politik

Pandangan berat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Zeid Ra’ad Al Hussein mengenai hak asasi manusia di Malaysia adalah berdasarkan maklumat sebelah pihak dan tidak dengan bukti.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, dalam hal Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan telah memberikan respons yang ekstensif kepada pendapat yang diterima oleh Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan secara Arbitrari (WGAD).

“Kerajaan tetap menegaskan bahawa berasaskan fakta yang tidak boleh dipertikaikan dan asas undang-undang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan banduan politik dan telah disabitkan kesalahan selepas perbicaraan adil dan panjang,” kata kenyataan itu semalam.

Al Hussein dalam pembentangan Laporan Tahunannya di bawah Agenda Item 2: Dialog Interaktif dengan Pesuruhanjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia pada Sesi Biasa ke 31 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 10 Mac telah mengulas mengenai situasi hak asasi manusia di Malaysia, dengan rujukan kepada penghadang ruang demokrasi di Malaysia dan bekas ketua pembangkang Anwar.

Menyatakan kesal terhadap komen itu, kementerian itu berkata kemajuan dan usaha menyeluruh kerajaan dalam menjamin kenikmatan hak asasi manusia di Malaysia adalah ekoran komitmen tegas kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Ia menyatakan, kerajaan telah dan akan terus menyediakan ruang demokrasi yang perlu untuk rakyatnya.

Kerajaan juga mempunyai kewajipan untuk menentukan keamanan, kestabilan dan harmoni dalam negara yang menjadi pra-syarat bagi menikmati sepenuhnya hak tersebut.

“Malaysia menganggap penting usaha-usaha Majlis Hak Asasi Manusia sebagai badan antara kerajaan yang dipandu oleh prinsip kesejagatan, kesaksamaan, objektiviti, tanpa bersikap memilih.

“Oleh itu, kerajaan Malaysia berharap majlis itu bersikap seimbang dalam menilai situasi hak asasi manusia di semua negara anggota.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Malaysia menghargai dialog membina dan penglibatan aktif yang menjadi asas Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

TAGS