Malaysia Dateline

Putus kaki akibat terlanggar jalan berlubang, lelaki menang saman RM652,000 terhadap kontraktor jalan raya

Seorang lelaki menderita kehilangan sebelah kakinya selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah jalan yang berlubang di Kota Bharu, kira-kira dua tahun lalu.

Plaintif, Tengku Muhamad Khazi Hakimi Ku Hussin, 34 yang juga seorang mekanik telah mengemukakan bukti kepada pihak Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan bukti tersebut dipersetujui Hakim bahawa plaintif terlibat kemalangan akibat lubang jalan yang dilimpahi air.

Gambar sekadar hiasan

Menurut Hakim, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian Roadcare Malaysia Sdn. Bhd. (Roadcare) sebagai kontraktor penyelenggara jalan kepada kerajaan yang merupakan defendan dalam kes tersebut.

Mahkamah kemudian mengarahkan pampasan sejumlah RM652,000 dibayar kepada plaintif yang menderita kehilangan kaki kirinya, lapor MalaysiaKini.

Pada peringkat awal perbicaraan, Roadcare menafikan dan menyangkal kewujudan lubang tersebut pada jalan raya berkenaan.

“Bagaimanapun, mahkamah menyatakan berdasarkan bukti-bukti dan keterangan di pihak plaintif, kemalangan berlaku disebabkan lubang yang dilimpahi air akibat kecuaian Roadcare sebagai kontraktor penyelenggara jalan kepada kerajaan.

“Kejadian itu menimpa mangsa dalam kejadian pada 1 Disember 2019 di Kilometer 53, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai di Machang. Nahas itu mengakibatkan mangsa mengalami cacat kekal apabila kehilangan kaki kirinya,” kata Peguam yang mewakili plaintif, Wahab Che Kob ketika dihubungi pemberita.

Tengku Muhamad Khazi Hakimi memfailkan saman melalui Tetuan Kamarudin Wee & Co. dengan menamakan Roadcare dan kerajaan sebagai defendan yang diwakili peguam S. Siva Shanker dan Asmah Che Wan.

Baca juga: Hujan lebat sejak malam tadi, Mat Sabu tinggalkan kempen di Temerloh lawat mangsa banjir di Kota Raja

Baca juga: Teruja sangat mengundi kali pertama, Leona tayang kertas undi pada umum