Putus Tahaluf Siyasi: Pamer lagak sombong, ego Pas

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali mencabar Adun Pas dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan setelah usul 'putus hubungan tahaluf siyasi bersama PKR' di bawa dalam Muktamar parti itu semalam.

Putus Tahaluf Siyasi: Pamer lagak sombong, ego Pas

Sheikh Omar AliPenolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali mencabar Adun Pas dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan setelah usul ‘putus hubungan tahaluf siyasi bersama PKR’ di bawa dalam Muktamar parti itu semalam.

“Di Selangor, kita sedia maklum bahawa perjawatan exco adalah hasil lantikan diperingkat eksekutif Kerajaan Negeri.

“Pasca PRU 12 dan 13, Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat dan Menteri Besarnya adalah daripada PKR.

“Dalam hal ini, tidak ada guna terpekik-terlolong kononnya mahu putus hubungan dengan PKR.

“Sekiranya ‘anak jantan’ dan bermaruah, Adun PAS yang menyandang jawatan exco dalam Kerajaan Selangor letaklah sahaja jawatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Omar yakin adun-adun Pas tidak akan berbuat demikian.

“Saya yakin bahawa apa hujah sekali pun yang dikemukakan Pas, akan ‘terlondeh’ jua saat bertembungnya soal kuasa.

“Pun begitu, saya menjangkakan hal ini tidak akan berlaku.

“Walaupun exco Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor YB Zaidy Abdul Talib semasa sesi ucapan perwakilan di muktamar ada menyatakan kesediaan mereka untuk ‘maju kedepan atau undur’ berlandaskan ketaatan tak berbelah bahagi terhadap arahan kepimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama, ia saya anggap bakal menjadi gimik sahaja,” ujarnya.

Semalam usul bersama 21 bahagian Pas, serta Dewan Ulama dan Dewan Pemuda, diluluskan secara sebulat suara oleh perwakilan untuk memutuskan ‘tahaluf siyasi dengan PKR’ seperti yang di bentangkan wakil Dewan Ulama Pas Zulkifli Ismail.

Dengan sokongan ini, usul seterusnya diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.

Sekiranya kedua-dua badan tertinggi itu meluluskan dan melaksanakan usul tersebut, ia mungkin menyaksikan pertembungan antara Pasdan PKR pada pilihan raya umum akan datang, terutamanya di Selangor yang kerajaan negerinya turut dianggotai Pas, bersama DAP.

Dalam hal ini, Sheikh Omar berpendapat, ia bakal menjadi gimik Pas sahaja.

“Hujah tahaluf siyasi Pas disandarkan kepada 6 syarat digariskan Majlis Syura Ulama. Namun arahan kepimpinan Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama, ia saya anggap bakal menjadi gimik sahaja.

“Ia tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap exco Pas Selangor kerana saya yakin Majlis Syura Ulama dan pimpinan Pas Pusat tidak akan mengarahkan Adun mereka melepaskan jawatan exco berdalilkan pelbagai hujah dan alasan.

“Dalam hal ini, saya berpendapat ‘tuhan’ bukan segalanya bagi Pas apabila bertembung soal kuasa.

“Usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR tidak lebih sekadar mempamerkan lagak sombong dan ego Pas. Hakikat jauh di lubuk hati, Pas tidak mahu kehilangan kuasa!,” ujarnya.