Malaysia Dateline

PVBTTBM santuni bekas tentera tidak berupaya, uzur menjelang Ramadan

Ayob Abd Rahman

Menjelangnya Ramadan Al Mubarak, Persatuan Veteran Bekas Tenteta Tidak Berpencen Malaysia (PVBTTBM) cawangan Negeri Perak, mengambil insiatif dengaan menyantuni bekas tentera tidak berpencen yang uzur dan tidak berupaya.

Malah kepedulian tersebut mampu untuk mendekati pelbagai bekas tentera yang mengharapkan nasib mereka diberi perhatian.

Demikian dinyatakan oleh Yang Dipertua, Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen Malaysia Cawangan Negeri Perak, Ayob Abd Rahman ketika ditemui semasa menyantuni bekas tentera tidak berpencen, Amat Siril Chim, 78 di Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Perak semalam.

Menurut Ayob lagi, PVBTTBM kerap turun padang bagi mendengar keluh-kesah pelbagai golongan bekas tentera tidak berpencen.

“Kami mendengar suara dan rintihan mereka secara rutin dan membawa masalah ini ke pengetahuan pihak berkuasa.

“Hanya dengan cara ini PVBTTBM yakin masalah kehidupan yang semakin melarat dalam kalangan bekas tentera tidak berpencen dapat didengari dan diberi dokongan.

“Kita menjadi mata dan telinga kerajaan dan mahu memastikan nasib bekas tentera tidak berpencen dikenang dan diberi pembelaan yang sewajarnya,” jelas beliau lagi.

Tegas Ayob lagi, dengan program turun padang sebelum Ramadan, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban yang sedang ditanggung oleh sebahagian besar bekas tentera tidak berpencen.

“Apa yang kita harapkan agar kerajaan senantiasa dan terus menjejaki bekas tentera kerana jasa mereka tidak ternilai ketika mempertahankan negara.

“Ramai antara mereka adalah yang telah berkhidmat dalam tempoh yang agak lama, namun begitu kepedulian terhadap mereka adakalanya telah terlepas pandang sehinggakan mereka seolah-olah dilupakan.

“Walau bagaimana pun setakat ini usaha yang telah diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan menunjukkan adanya kesungguhan untuk membela nasib bekas tentera tidak berpencen dengan pemberian ‘one-off’ sebelum ini.

Manakala Amat Siril yang terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak, tidak dapat melupakan khidmat mempertahankan negara yang telah dicurahkan beliau.

“Yang amat menakutkan ialah kawasan Gerik kerana ia merupakan tumpuan komunis pada ketika itu.

“Kami terpaksa berada begitu lama dalam hutan untuk menentang komunis yang cuba masuk kampung tatkala itu.

“Walaupun pendapatan tidak seberapa ketika itu, ia telah memberi pengalaman besar kerana berjaya mempertahankan negara dari ancaman musuh khususnya komunis,” tambahnya.