PVPNM mahu Mohamad beri perhatian nasib veteran tentera

PVPNM mahu Mohamad beri perhatian nasib veteran tentera

Azizan Salleh

Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM), amat berharap kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan dapat memberi pembelaan yang lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kepada bekas tentera.

Menurut Pengerusinya, Azizan Salleh, PVPNM menaruh sepenuh harapan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk membawa pembaharuan bersungguh-sungguh bagi menentukan kebajikan veteran tentera dapat direalisasikan.

Azizan yang lebih dikenali sebagai Azizan Memali turut berkata, selama ini semasa berada dibawah pentadbiran kerajaan BN kebanyakan janji pembelaan yang dibuat berupakan retorik yang hanya mempergunakan veteran tentera bagi tujuan politik kepartian.

“Kita tidak lagi mahu veteran tentera hanya digunakan untuk tujuan politik kepartian yang sempit sepertimana dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

“Sehubungan itu adalah diharapkan Kementerian Pertahanan dapat mengambil berat mengenai pelbagai isu membabitkan kepentingan bekas tentera.

“Antaranya adalah kes penipuan dan salah guna kuasa oleh pemerintah dan pegawai-pegawai kerajaan negeri Perak semasa BN menerajui kepimpinan sebelum ini, ” ujarnya.

Malah tegas beliau lagi, terdapat bukti keterlibatan wakil rakyat Umno terdahulu dalam kes yang berlaku di Gunung Semanggol, Perak apabila veteran tentera dipenjarakan bagi mempertahankan hak veteran tentera yang lain.

“Apabila wujudnya keterlibatan politik dalam isu membabitkan kepentingan veteran tentera, maka keadilan yang diharapkan sudah tidak lagi dapat direalisasikan.

“Akhirnya segala jasa, bakti dan keringat yang disumbangkan selama berada dalam tentera untuk tempoh puluhan tahun seolah-olah tidak dipedulikan.

“Bekas dan veteran tentera hanya menjadi alat untuk memenuhi kehendak segelintir pihak berkepentingan sepertimana yang berlaku baru-baru ini, ” tegasnya.

Sehubungan itu tambahnya, beberapa pendedahan akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi membuktikan wujudnya penganiayaan terhadap bekas tentera semasa zaman pentadbiran BN sejak 2008 lagi.

Oleh itu katanya, PVPNM amat berharap untuk mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan Menteri Pertahanan bagi mendedahkan beberapa perkara yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap bekas dan veteran tentera.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS