PWSA akan terajui latihan teknikal industri bekalan air negara

PWSA akan terajui latihan teknikal industri bekalan air negara
Ramasamy menyampaikan anugerah kepada seorang pelatih semasa majlis Konvensyen di Politeknik Seberang Perai, semalam.

Akademi Perkhidmatan Air Pulau Pinang (PWSA) dan kampus cawangan barunya akan memberi tumpuan kepada latihan teknikal dan pensijilan bagi industri bekalan air seluruh negara, kata Prof Dr P Ramasamy.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, PWSA kini melebarkan sayap keseluruh negara bagi menyediakan latihan kecekapan yang diiktiraf oleh kerajaan bagi kakitangan industri air.

“PWSA diuruskan oleh PBA Resources Sdn Bhd (PBAR) anak syarikat milik PBA Holdings Berhad.

“Institut Air Melaka atau MWI di Melaka merupakan kampus cawangan PWSA yang akan menyediakan program latihan teknikal PWSA di wilayah selatan.

“Selain dari itu, PWSA juga merancang untuk membuka kampus bagi wilayah tengah, ” ujarnya.

Penerima anugerah semasa majlis konvokesyen yang diadakan di Politeknik Seberang Perai bergambar kenangan bersama Ramasamy.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd di Politeknik Seberang Perai pada Khamis.

Malah jelas Ramasamy lagi, dengan pengkalannya di Pulau Pinang serta kewujudan dua rangkaian cawangan tersebut, PWSA akan menjadi penggerak utama negara dalam menyediakan latihan teknikal industri air.

“Ekoran permintaan bekalan air yang semakin meningkat serta perubahan iklim, maka berbilion ringgit dilaburkan untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air .

“Ia juga untuk mengoptimumkan sumber air di Pulau Pinang dan seluruh negara.

“Keutamaan jua harus diberikan bagi mengoptimumkan latihan kecekapan untuk kakitangan teknikal industri bekalan air, ” ujarnya.

Beliau turut berkata, PWSA berusaha bagi memastikan semua kakitangan teknikal industri air negara dilatih dengan baik bagi memberi perkhidmatan yang lebih cekap pada masa akan datang.

Sehubungan itu tambahnya, kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBA Holdings Bhd berharap operator bekalan air, jabatan kerajaan dan semua organisasi yang terlibat dalam industri bekalan air negara memanfaatkan khidmat latihan yang disediakan PWSA.

“Mengikut rekod, PWSA telah berjaya melatih seramai 945 graduan peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sejak tahun 2010 lagi.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2007, seramai 3,872 kakitangan industri air dan lepasan sekolah telah menghadiri pelbagai program latihan di PWSA, ” kata Ramasamy lagi.

Kata beliau lagi, antara klien antarabangsa PWSA termasuk operator air Indonesia, Myanmar dan Nepal.

Sementara itu jelasnya, PBAR juga telah bekerjasama dengan Persatuan Industri Bekalan Air Indonesia atau PERPAMSI yang turut mewakili lebih dari 400 operator air seluruh Indonesia.