Malaysia Dateline

Quraizah moden wajar ditentang tanpa kompromi

Khianat mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud perbuatan menganiaya orang lain atau perbuatan belot/tidak setia. Secara mudah, khianat dapat difahami dengan erti tipu daya yang bertentangan dengan janji.

Khianat sedia maklum adalah sifat terlaknat dan penghancur seluruh umat. Ianya sebuah sifat yang menjadikan kaum-kaum terdahulu mendapatkan azab yang amat berat.

Islam telah meletakkan khianat pada tempat yang hina lagi dina dan merupakan sebahagian dari tanda-tanda orang munafik. Sebuah perbuatan yang membelakangi dengan nilai-nilai ajaran Rasulullah SAW.

Dijelaskan oleh Allah bahawa orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya tidak boleh mengkhianati amanah yang telah dipercayakan. Ia telah tersurat dalam Surah Al-Anfal ayat 27:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

Allah menyambung lagi dengan firmanNya yang lain di dalam Surah Al-Hajj ayat 38 bermaksud, “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.”

Setelah Allah melarang perbuatan khianat, maka ayat ini pula melarang berdebat dan membela orang-orang yang khianat. Firman Allah di dalam Surah Al-Nisa ayat 107 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau berdebat membela orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.” Maka, jelaslah khianat begitu mendapat tempat yang jijik di dalam Islam.

Khianat dalam sejarah peradaban Islam

Khianat walaupun dikeji, tetapi sifat ini berlaku pada setiap zaman. Sejarah awal perkembangan Islam telah terdapat banyak siri pengkhianatan yang dilakukan oleh golongan Yahudi.

Golongan Yahudi tetap melakukan pengkhianatan walaupun mereka yang telah diberi tempat terhormat dalam Piagam Madinah. Yahudi dan Muslimin di Madinah telah membuat perjanjian dalam mendirikan negara iaitu:

1. Orang Yahudi dan Muslim boleh mengatur dan menganut agama masing-masing.

2. Orang Yahudi dan Muslim wajib menolong satu sama lain jika Madinah diserang dari luar.

3. Kedua-dua pihak tidak boleh berbuat jahat, saling memberi peringatan dan membuat kewajipan yang ditetapkan.

Namun yang demikian, bangsa Yahudi ini telah lari dari menunaikan janjinya sendiri. Dunia Islam tidak pernah lupa dengan pengkhianatan dari puak yahudi Bani Quraizah.

Pengkhianatan berlaku semasa terjadinya perang Ahzab iaitu serangan pakatan suku arab pimpinan Quraisy Mekah ke atas kaum Muslimin Madinah pimpinan Rasulullah SAW.

Setelah mendengar perkhabaran serangan Ahzab, Nabi SAW bermusyawarah dengan para sahabat dan telah menerima usul pemuda berbangsa Parsi iaitu Salman Al-Farisi yang mempunyai pengalaman dalam peperangan.

Beliau mengusulkan supaya menggali parit di sekitar kota Madinah yang merupakan antara strategi perang yang unggul dalam sejarah peperangan Islam.

Peperangan kali ini telah membuatkan pihak kafir Quraisy bingung untuk menyerang kerana pertama kali berhadapan taktik sebegini dan akhirnya hanya mampu mengepung kota Madinah selama hampir satu bulan.

Tiba-tiba Bani Quraizah menunjukkan langkah pengkhianatan mereka. Secara sembunyi mereka membina hubungan dengan pakatan pimpinan kafir Quraisy. Mereka mengkhianati Rasulullah SAW dengan menyerang pasukan Islam dari belakang saat pasukan Islam sedang sibuk menghadapi pasukan Ahzab di hadapan mereka.

Berita tersebut telah sampai kepada Rasulullah SAW sehingga baginda memerintahkan beberapa sahabat untuk meneliti kebenarannya. Jika benar, maka rahsiakan dan jika salah maka sebarkan.

Ini merupakan strategi perang saraf pasukan muslimin terhadap pasukan sekutu menunjukkan bahawa Bani Quraizah tidak berbuat khianat. Tetapi setelah diselidiki, ternyata benar pengkhianatan tersebut.

Atas bantuan tuhan, perang Ahzab berakhir dengan terjadinya taufan yang menghancurkan perkhemahan kafir Quraisy di sekitar Madinah dan masyarakat Madinah pimpinan Nabi SAW telah diselamatkan oleh kuasa Rabb Al-Izzati.

Kemudian, Nabi terus menggempur Bani Quraizah apabila berakhirnya perang Ahzab, dan berjaya mengalahkan puak pengkhianat Bani Quraizah ini. Akhirnya hakim yang telah dipilih memutuskan hukuman kepada Bani Quraizah dengan dibunuh semua lelaki dewasa dan para wanita serta anak-anak dijadikan tawanan, juga segala harta mereka dijadikan ghanimah.

Oleh yang demikian, begitulah khianat yang tiada langsung tempatnya dalam Islam. Perbuatan khianat juga telah memberikan kesan yang maha dahsyat kepada sesiapa sahaja yang dikhianati tanpa mengira individu ataupun organisasi.

Lihatlah, kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat pun jatuh tersungkur kerana sikap khianat dan tamakkan kuasa sesetengah kelompok yang rakus. Asbab khianat juga, tidak mustahil keamanan dan perpaduan yang kukuh akan runtuh berkecai apabila benih khianat tumbuh subur dalam masyarakat.

Saya pasti Quraizah moden wujud di zaman milenia ini. Akibat daripada itu, kita wajib menentang mereka tanpa perlu berkompromi sekalipun kerana mereka hidup bertopengkan malaikat tetapi hati begitu jijik!

*Penulis ialah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak.