Malaysia Dateline

Ramasamy harus muhasabah sebagai pemimpin kerajaan negeri, kata Bersatu

Sebagai pemimpin kerajaan, setiap bait kata dan tindakan perlu harmoni dan menenangkan, bukannya menjadi batu api untuk menimbulkan kemarahan antara rakyat.

Malah hubungan perlu dibaiki dengan rakan-rakan perjuangan yang lain dan dapatkan pencerahan.

Demikian dizahirkan oleh Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Ulya Aqamah Husamudin mengulas mengenai desakan Armada Pulau Pinang supaya Exco Pendidikan Pulau Pinang, P.Ramasamy melepaskan jawatan beliau sebagai exco kerajaan negeri.

Ulya Aqamah Husamudin

“Kenyataan Ramasamy yang menyifatkan Armada sebagai kumpulan ‘cari pasal’ amatlah tidak berpatutan dan melampau sebagai seorang pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Sebenarnya gesaan Armada Pulau Pinang supaya beliau melepaskan jawatan bukan dibuat secara semberono tanpa pertimbangan.

“Seawal pentadbiran kerajaan, Ramasamy telah banyak kali memperlekehkan dan menyerang keputusan rakan-rakan seperjuangan dengan membuta tuli,” ujarnya.

Katanya lagi,dari awal lagi Ramasamy sudah memporak-perandakan hubungan harmoni antara parti dan masyarakat setempat.

Tambah Ulya lagi, bermula dengan merasmikan program kontroversi mengfenai tamadun Lembah Bujang mengelirukan warga Malaysia, malah ianya boleh mengancam perpaduan kaum di negara ini.

“Seterusnya beliau juga menyifatkan Lapangan Terbang Kulim untuk ‘membunuh’ Pulau Pinang.

“Tidak lupa serangan bertubi-tubi beliau terhadap Dr Maszlee Malik mengenai matrikulasi dan kini mengenai tulisan jawi pula.

“Secara jelas isu-isu terpilih untuk direspon dan dikritik oleh nya kesemuanya bersifat pentingkan diri dan berbaur perkauman, ” tegasnya.

Menurut Ulya, setiap kali kenyataan dibuat oleh Ramasamy pasti akan berlaku ketegangan antara kaum dan rakyat serta ia merupakan suatu tindakan yang tidak boleh diterima.

“Persoalannya kenapa beliau tidak terus berhubung dengan pimpinan untuk menyatakan perbezaan pandangan ini.

“Ini menunjukkan bahawa beliau tiada disiplin dan hormat kepada rakan-rakan seperjkuangan.

“Jelas tindakan inilah, tindakan populis dan mementingkan diri, ” katanya.

Soalnya lagi, apakah Ramasamyu mahu Armada terus menutup mulut sementara beliau menyerang secara terbuka?.

Tegasnya, hanya yang tidak bermaruah sahaja akan membisu.

“Ia harus ingat janganlah kerana mulut badan binasa.

“Andaikata tindakan beliau masih lagi menimbulkan ketegangan kaum dan tidak menyatukan rakyat, adalah lebih baik Ramasamy melepaskan jawatan.

“Kepentingan rakyat dan Pulau Pinang harus diutamakan dari menjaga dan membela pemimpin yang tidak mengutamakan keharmonian dan hormat-menghormati antara satu sama lain, ” katanya.