RCI Wang Kelian berakhir, panel siasatan puas hati keterangan saksi

RCI Wang Kelian berakhir, panel siasatan puas hati keterangan saksi

Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian berakhir hari ini, selepas prosiding selama 17 hari membabitkan 48 saksi.

Pengerusi RCI dan bekas ketua hakim negara, Tun Arifin Zakaria berkata panel itu akan mula menyediakan laporan mengenainya.

“RCI ialah satu daripada cara untuk menyediakan laporan kami dengan mengumpul maklumat daripada saksi yang tahu apa sebenarnya berlaku di Wang Kelian.

“Selepas hari ini, kami akan mengadakan mesyuarat untuk menyediakan laporan itu yang akan diserahkan kepada Agong pada awal September ini dengan syor kami,” katanya selepas menutup prosiding seperti dipetik FMT hari ini.

Ditanya jika laporan itu akan diumumkan, Arifin berkata, itu terpulang kepada kerajaan.

“Itu bukan prerogatif kami. Berdasarkan terma rujukan, RCI ditubuhkan untuk menyediakan laporan kepada kerajaan.

“Terpulang kepada budi bicara kerajaan. Kami akan menyerahkan laporan itu kepada mereka.”

Arifin berkata, beliau berpuas hati dengan maklumat yang diberikan saksi.

“Kami sudah menggunakan apa saja cara yang ada pada kami. Tidak, saya tidak fikir kami akan memanggil saksi lain.

“Tetapi, secara umumnya, saya berpuas hati dengan apa saja maklumat yang diberikan kepada kami,” katanya sambil menambah polis sudah cuba sedaya upaya untuk membantu panel itu.

Katanya, walaupun beliau mahu mendapatkan maklumat dari saksi di Thailand, tetapi tiada kerjasama daripada mereka.

“Ia agak sukar dan kita tiada kuasa untuk memanggil mereka.”

Timbalan pengerusi panel itu yang juga bekas ketua polis negara, Norian Mai tidak menolak kemungkinan siasatan ke atas insiden itu dibuka semula.

“Itu bergantung pada dapatan kita selepas perbincangan dengan ahli RCI.”

Panel itu turut dianggotai Noorbahri Baharuddin, Razali Ismail, Junaidah Abd Rahman, Nazirah Hussain dan Dr Tan Seng Giaw.

Pada Mei 2015, pihak berkuasa menemui 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma, Wang Kelian, dekat sempadan Malaysia-Thailand.

Kerajaan ketika itu dikritik kurang mengambil tindakan terhadap pegawai tinggi. Walaupun 4 individu didakwa di mahkamah, pengkritik mendakwa mereka hanya penyeludup kecil-kecilan.