Rabbani akui pernah belajar di Darul Al-Arqam, ini pendapat anggota tentang GISBH

Oleh MALAYSIADATELINE

Kumpulan nasyid, Rabbani tidak menafikan bahawa mereka pernah bergelar pelajar dan menubuhkan kumpulan nasyid NadaMurni di bawah gerakan Darul Al-Arqam pada sekitar tahun 1980-an.

Walau bagaimanapun, anggotanya iaitu Mohd Asri Ubaidullah menegaskan bahawa mereka kini tiada apa-apa kaitan dengan gerakan tersebut sejak ia diharamkan lebih kurang 30 tahun lalu.

Jelas Mohd Asri, kumpulan tersebut sudah berpecah selepas Al-Arqam diharamkan dan mereka keluar hidup bersama masyarakat selepas kejadian itu, lapor Harian Metro.

“Terus terang, kami dahulu adalah pelajar gerakan Darul Al-Arqam dan ada di dalam kalangan kami yang pernah menganggotai kumpulan nasyid NadaMurni. Namun, itu semua perkara lama.

“Yang sudah itu, sudahlah. Selepas Al-Arqam diharamkan lebih kurang 30 tahun lalu, kami berpecah dan keluar hidup bersama masyarakat,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mohd Asri turut berkongsi pengalaman di mana kumpulan nasyid berkenaan pernah dipantau oleh pihak berkuasa di samping perlu menyertai program pemulihan akidah.

Dalam perkongsian itu, Mohd Asri turut memberi nasihat kepada orang ramai untuk lebih berhati-hati terutamanya dalam berguru supaya tidak terpesong dan tersilap langkah.

“Kami juga dipantau pihak keselamatan dan perlu sertai program pemulihan akidah. Melalui pemantauan itu, kami mula sedar bahawa kami, kumpulan nasyid adalah milik masyarakat di mana mereka perlukan kami untuk berkongsi pelbagai perkara.

“Nasihat saya, kita perlu belajar dengan guru yang ramai serta guru yang betul. Kalau kita tak belajar dengan guru yang betul itu yang akan membuatkan kita terpesong dan tersilap,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi anggota Rabbani iaitu Azadan Aziz mengakui ajaran dan tindakan dilakukan dalam Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) jauh berbeza dengan apa yang berlaku di dalam gerakan Al-Arqam.

“Boleh saya katakan 80 hingga 90 peratus tak sama kalau dibandingkan Al-Arqam dengan GISBH yang ada kini. Dulu, banyak sangat kebaikan dan pada peringkat awal, (Al-Arqam) okay sahaja contohnya dari sudut pengajian dan ekonomi.

“Tetapi apabila sudah mula GISBH itu, saya secara peribadi sudah tak boleh terima. Mereka salam dengan kita pun tak mahu sebab mereka anggap musuh. Itu sudah salah,” ujarnya.

Azadan turut menasihatkan supaya masyarakat tidak meminggirkan ahli yang sudah berjaya keluar dari kelompok ajaran sesat itu kerana khuatir ia akan menjauhkan mereka daripada hidup bermasyarakat.

Manakala ahli-ahli yang berjaya keluar daripada gerakan itu pula disarankan untuk mulakan semula kehidupan mereka daripada awal dengan mengikut asas agama yang betul.

“Kami memiliki cara, raikan semua orang sebab sudah berhadapan dengan semua orang. Sampai satu peringkat, kami pergi sahaja makan di kedai mereka sebab kami rasa mereka saudara kami.

“Jangan sisihkan mereka sebab mereka perlukan sokongan kita. Untuk rakan-rakan dalam GISBH, bila dah keluar nanti jangan segan silu untuk mulakan dari awal. Kembali kepada asas agama yang betul.” Kongsinya.

Baca juga: Syamsul Yusof tuntut Ira Kazar kembalikan harta semasa berkahwin? Ini pendedahan peguam Ira