Malaysia Dateline

Radikal Islam atau radikal sekular

Pada bulan Oktober lalu, dunia digemparkan dengan peristiwa pembunuhan kejam seorang guru bernama Samuel Paty di pinggir bandaraya Paris.

Peristiwa ini berlaku susulan daripada tindakan beliau yang menayangkan karikatur provokatif yang menghina terhadap Nabi Muhammad semasa kelas mata pelajaran sivik.

Tragedi pembunuhan kejam beliau ini telah dikecam oleh seluruh lapisan masyarakat Perancis termasuklah para imam dan pemimpin komuniti Muslim.

Beliau dibunuh oleh Abdoullakh Anzorov, seorang pemuda beragama Islam berusia 18 tahun yang berasal dari Chechnya, Rusia.

Abdoullakh telah ditembak mati oleh pihak polis di lokasi yang berhampiran dengan kejadian pembunuhan kejam guru tersebut.

Kira-kira dua minggu sebelum peristiwa pembunuhan kejam ini berlaku, Presiden Perancis Emmanuel Macron telah menyampaikan suatu ucapan kontroversi yang antara lainnya mendakwa bahawa Islam adalah dalang krisis di seluruh dunia dan berikrar untuk membebaskan Islam di Perancis daripada pengaruh asing.

Ucapan kontroversi beliau ini telah memarakkan semula sentimen Islamophobia dan juga apa yang sering digelar di media barat sebagai fahaman ‘radikal Islam’ di Perancis dan Eropah secara keseluruhannya.

Kenyataan kontroversi beliau ini telah dikecam hebat oleh pemimpin negara-negara Islam terutamanya Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Presiden Erdogan juga telah menyeru umat Islam seluruh dunia untuk memboikot produk buatan Perancis sebagai tindak balas terhadap kenyataan yang dibuat oleh Presiden Macron.

Rentetan daripada tragedi pembunuhan kejam Samuel Paty tersebut, Presiden Macron telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk memerangi ideologi ‘radikal Islam’.

Ratusan rumah telah digeledah, beberapa buah masjid yang disyaki menyebarkan fahaman ‘radikal Islam’ telah ditutup dan juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah dibubarkan kerana didakwa menyebarkan ideologi yang sama.

Kerajaan pimpinan beliau juga telah membentangkan rang undang-undang pemisahan Islam pada bulan Disember lalu.

Rang undang-undang ini akan memberi kuasa yang luas kepada kerajaan Perancis antara lainnya untuk memantau aktiviti masjid-masjid, mewujudkan program tauliah kepada para imam, mengharamkan para imam dari luar terutamanya dari Algeria dan Turki, serta mengharamkan ‘home schooling’ bagi kanak-kanak untuk menghalang penubuhan sekolah-sekolah Islam.

Beberapa siri keganasan yang dikaitkan dengan pengganas berfahaman ‘radikal Islam’ telah berlaku sejak kebelakangan ini di Eropah dan Perancis khususnya.

Bermula dengan siri serangan pengganas yang meragut nyawa 12 orang pada Januari 2015 di pejabat akhbar mingguan Charlie Hebdo yang sering menerbitkan karikatur provokatif, serangan berdarah di beberapa lokasi tumpuan utama di Paris pada November 2015 yang mengorbankan 130 nyawa, sehinggalah ke tragedi terbaru ini.

Kesemua siri serangan ini telah mengakibatkan komuniti Muslim di Perancis semakin terhimpit dgn reaksi keras oleh pihak kerajaan dan dipandang serong oleh sebahagian besar rakyat Perancis, tambahan lagi ketika ini sentimen Islamophobia dan anti-imigran semakin memuncak di Eropah.

Lebih memburukkan lagi keadaan tatkala reaksi keras kerajaan Perancis untuk memerangi ideologi ‘radikal Islam’ semakin diperhebat, masyarakat Muslim seolah-olah dipinggirkan daripada arus pemodenan.

Pelbagai masalah sosial yang membelenggu belia Muslim secara tidak langsung menjurus mereka kepada proses ektremisme dan radikalisasi.

Tanpa menafikan akan adanya justifikasi tindakan keras ke atas ideologi ‘radikal Islam’ ini, ada penganalisis politik Perancis berpendapat bahawa tindakan keras Presiden Macron ini adalah berlebihan dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa retorik keras beliau terhadap Islam sejak akhir-akhir ini sebenarnya adalah bermotifkan politik domestik.

Tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan bahawa pemimpin berhaluan sayap paling kanan yang sering mengeluarkan kenyataan anti-imigran dan prejudis terhadap Islam, Marine Le Pen, adalah pemimpin politik yang paling diyakini oleh rakyat Perancis untuk memerangi keganasan.

Hal ini sekaligus menjejaskan peluang Presiden Macron untuk dipilih semula dalam pilihanraya presiden yang dijadualkan pada 2022, tambahan pula populariti beliau yang semakin menjunam ekoran daripada protes gerakan ‘Yellow Vests’ yang berterusan sejak November 2018.

Dapatan tinjauan pendapat tersebut juga membuktikan bahawa retorik keras dan ucapan kebencian (hate speech) terhadap Islam dan imigran semakin mendapat perhatian yang positif di arena politik domestik Perancis.

Nilai-nilai Republik Perancis yang menjunjung tinggi kebebasan berekspresi hatta termasuklah kebebasan untuk mempersendakan agama turut dilihat menyumbang kepada ekstremisme dan radikalisme.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kebebasan menghina sesuatu agama atau simbolnya adalah menjurus kepada fahaman ‘radikal sekular’.

Kebebasan berekspresi dan kebebasan bersuara seharusnya datang dengan tanggungjawab untuk tidak memainkan isu-isu sensitif yang boleh mengakibatkan huru-hara dan kebencian antara etnik atau agama.

Pada masa yang sama, sebarang kenyataan atau tindakan yang dilihat sebagai anti-semitik boleh didakwa di mahkamah Perancis.

Bukankah ini secara tidak langsung bercanggah dengan nilai-nilai Republik Perancis yang menjunjung tinggi kebebasan berekspresi dan kebebasan bersuara sehingga membolehkan kebebasan untuk memperolokolokkan agama?