Malaysia Dateline

“Radzi sila turun lawat sekolah di pedalaman, jangan sibuk agih beras di Putrajaya”

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sewaktu COVID-19 terus dipersoalkan apabila kaedah ini tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan terutama sekolah di pedalaman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengajak Menteri Pendidikan Datuk Mohd Radzi Jidin untuk turun dan tengok sendiri sekolah di pedalaman yang jauh beza dengan sekolah luar bandar.

Katanya, masalah sekolah pedalaman ialah internet, liputan telefon, bekalan elektrik, air bersih dan pengangkutan.

“Keadaan fizikal sekolah pedalaman juga daif seperti asrama, rumah guru, perpustakaan dan makmal komputer sehingga ada guru wanita panjat pokok untuk dapat line telefon bagi menghubungi suaminya di Semenanjung.

“Sebab itu amat wajar kalau Menteri KPM turun melawat sekolah pedalaman. Tengok sendiri. Jangan sibuk agih beras di Putrajaya sahaja,” bidas Puad.

Puad turut memberitahu pegalaman beliau berjalan kaki selama lapan jam untuk sampai ke sekolah pedalaman di Sekolah Kebangsaan Saliliran di Nabawan Sabah.

“Perjalanan bermula dengan naik bot daripada Kuala Salong jam 6 pagi dan sampai di Sinapa jam 4 petang. Dari situ mula meredah hutan, menyelusuri sungai, memanjat bukit dan tiba di SK Saliliran tepat jam 11.55 malam.

“Sebenarnya banyak lagi pengalaman pahit melawat sekolah pedalaman di Sarawak, Sabah dan pulau-pulau di Mersing Johor,” katanya.

Katanya, sekolah pedalaman ialah sekolah yang tidak boleh dihubungi melalui jalan darat, banyak kesukaran termasuk untuk membeli barang dapur kerana jauh dari pekan utama.

“Mengikut data 2018, terdapat lebih kurang 832 sekolah pedalaman di Malaysia. 372 adalah sekolah pedalaman, saya sempat melawat 202 buah sekolah pedalaman dari 2009-2014,” katanya.

Namun beliau mempersoalkan apakah PdPR mengambil kira semua masalah tersebut.

“Kalau guru dan pakar turut mengkritik PdPR, sudah tentu sukar dilaksana di pedalaman kerana kekangan logistik,” katanya.

Beliau turut membangkitkan Pelan Transformasi Pendidikan sekolah pedalaman di Paitan Beluran Sabah (18 April 2013) yang dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Yaasin di mana pelan tersebut perlu diberi nafas baru.

“Semasa BN, peruntukan RM2 bilion diberikan untuk sekolah pedalaman. RM1 bilion di Sabah dan RM1 bilion di Sarawak (Bejet 2018).

“Amat wajar wujud bahagian baru di KPM. Iaitu Bahagian Pendidikan Sekolah Pedalaman,” ujarnya.

Jelasnya, keadilan pendidikan mudah tercapai jika sekolah pendalaman menerima pendidikan sama kualiti dengan sekolah di bandar

“Radzi Jidin perlu turun. 832 buah sekolah pedalaman bukan sedikit,” katanya.