Rafizi akan dedah tiga lagi pelaburan bermasalah Tabung Haji

Rafizi akan dedah tiga lagi pelaburan bermasalah Tabung Haji

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sekali lagi didesak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji jika tidak mahu institusi itu menjadi tumpuan politik.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sekali lagi didesak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji jika tidak mahu institusi itu menjadi tumpuan politik.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media berkata, jika Abdul Azeez tidak mahu Tabung Haji menjadi tumpuan politik, maka sebaiknya Tabung Haji dihindari daripada campur tangan politik.

Beliau juga mengulangi desakan agar Abdul Azeez meletakkan jawatan agar seorang tokoh bukan politik dilantik menerajui Tabung Haji.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang memberi maklum balas yang pertama semalam (seperti dilaporkan Bernama) sejak isu kedudukan kewangan Tabung Haji mula timbul.

“Beliau dilaporkan meminta supaya pihak-pihak tertentu tidak mempolitikkan Tabung Haji dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah terhadap Tabung Haji,” ujar Rafizi.

Menurutnya, sebagai Ahli Parlimen yang selalu memberi perhatian kepada kedudukan kewangan institusi milik kerajaan, menjadi tanggung jawab beliau untuk terus menyemak kedudukan kewangan dan pelaburan besar Tabung Haji.

Rafizi juga menyifatkan rekod tidak baik Abdul Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam menerangkan keputusan-keputusan pelaburan Tabung Haji yang mengundang kontroversi.

Ahli Parlimen Pandan itu turut merujuk penyata Dewan Rakyat bertarikh 16 Mac 2015 ketika beliau menimbulkan risiko yang dihadapi Tabung Haji jika terbabit dengan 1MDB.

“Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, reaksi Datuk Seri Azeez Abdul Rahim di dalam Dewan Rakyat ialah dengan menjerit ‘bohong’ sedangkan sebulan kemudiannya beliau sendiri terpaksa mengakui bahawa Tabung Haji telah membeli tanah kerajaan yang dianugerahkan kepada 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda.

“Sehingga kini, beliau tidak pula menampilkan angka-angka untuk menafikan perkara-perkara yang saya timbulkan selain dari mengulangi bahawa ini adalah fitnah belaka,” tegasnya.

Rafizi juga berjanji akan mendedahkan tiga lagi aktiviti pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian besar pada hari Selasa, Rabu dan Khamis ini.

TAGS