Malaysia Dateline

Rafizi anggap isu rundingan dengan Pas sudah berakhir, yakin komitmen Azmin

Dalam satu kenyataan media, Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan juga menyeru seluruh pemimpin PKR untuk memberi tumpuan kepada persediaan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan tidak melayan berita politik yang tidak membantu mengalahkan Umno/BN.

Rafizi baru-baru ini mendapat perhatian umum apabila secara terbuka mengkritik tindakan sebahagian pemimpin parti itu khususnya Biro Politik PKR yang dipengerusikan Azmin untuk terus berunding dengan Pas bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Beliau juga menyarankan kongres khas diadakan bagi membincangkan dan membuat keputusan muktamad berhubung tindakan segelintir pemimpin parti itu yang ingin terus menjalinkan hubungan dengan Pas.

Tindakan Rafizi ini mendapat reaksi keras daripada beberapa pemimpin PKR yang menyifatkan beliau cuba memecahbelahkan parti.

Bagaimanapun Majlis Presiden PH beberapa hari kemudian memutuskan bahawa pakatan politik itu tidak mempunyai hubungan dengan Pas.

{loadposition myposition}

Mengulas lanjut, Rafizi beranggapan perbezaan pendapat mengenai rundingan kerusi dengan Pas telah tamat berdasarkan keputusan Majlis Presiden PH yang dipersetujui Biro Politik PKR dan komitmen Azmin untuk mematuhinya.

Oleh itu beliau menyeru ahli parti untuk “menjaga kawasan masing-masing” dan menumpukan perhatian kepada kempen akar umbi bagi menghadapi PRU14 yang boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang.

“Kini, kita sudah terlalu dekat dengan PRU14 dan sewajarnya kita memberi fokus kepada persediaan PRU14.

“Saya akan terus turun ke kerusi-kerusi marginal di seluruh negara. Dalam bulan Julai dan Ogos, saya telah berkempen sebanyak 61 kali (ceramah dan acara kempen lain) di 46 kerusi marginal di peringkat Parlimen dan Dun di seluruh negara iaitu sekitar 7 atau 8 kerusi Dun/Parlimen setiap minggu tanpa henti.

“Jumlah tontonan terkumpul kesemua ceramah-ceramah ini di Facebook dan Youtube telah mencecah 1.1 juta tontonan sepanjang dua bulan ini.

“Saya yakin tanggungjawab berjumpa pengundi di bawah dan menyampaikan maklumat sebegini adalah lebih penting dari melayan berita-berita tidak sah yang direka oleh sumber-sumber yang tidak berani menerbitkan nama mereka sendiri,” tegas beliau.