Malaysia Dateline

Rafizi cabar Azmin, Anwar Presiden baru PKR

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjadi Presiden baru PKR selepas tiada sesiapa mencalonkan diri bagi jawatan tertinggi tersebut.

Jawatan berkenaan sebelum ini disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Anwar yang bakal genap berusia 71 tahun pada 10 Ogos ini mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden PKR pada 15 Julai lalu.

Sementara itu, Datuk Seri Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bakal dicabar Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR selepas tempoh pencalonan ditutup sebentar tadi.

Borang pencalonan Azmin untuk mempertahankan jawatannya itu diserah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham yang juga calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Pencalonan Azmin disokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang juga Adun Sungai Tua.

“Kira-kira jam 4.45 petang ini saya menyerahkan borang pencalonan bagi pihak Datuk Seri Azmin untuk beliau mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti kali ini,” kata Amirudin kepada media.

Sementara itu, bagi persaingan jawatan Naib Presiden, pemilihan kali ini mencatatkan jumlah yang ramai dicalonkan bagi mengisi empat tempat yang dipilih melalui undian.

Mereka ialah William Leong (MP Selayang), Datuk Johari Abdul (MP Sungai Petani),S Kesavan (MP Sungai Siput), Nurul Izzah Anwar (MP Permatang Pauh) dan Dr Dr Xavier Jeyakumar (MP Kuala Langat).

Turut bertanding, Zuraida Kamaruddin (MP Ampang), Shamsul Iskandar Mohd Akin (MP Hang Tuah Jaya), Tian Chua (bekas MP Batu) dan Michael Tamil.