Rafizi dakwa siasatannya menunjukkan akaun itu milik Rameli Musa

Rafizi dakwa siasatannya menunjukkan akaun itu milik Rameli Musa
"Ini mengesahkan bahawa akaun yang dinamakan itu wujud, sumber wang untuk RM1.4 juta itu juga wujud," kata beliau dalam tulisannya.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, penyiasatan yang beliau buat berkaitan dengan nombor akaun bank Islam yang dipertikaikan oleh Pas dalam kes Sarawak Report adalah milik Rameli Musa.

Rafizi dalam satu kenyataannya berkata, beliau telah menyiasat nombor akaun yang dinyatakan Sarawak Report dalam kenyataannya mengenai nombor akaun yang digunakan untuk menghantar RM1.42 juta itu.

Ini berikutan dakwaan Pas bahawa Sarawak Report menipu apabila nombor akaun bank Islam yang diberikan hanya 10 digit sahaja sedangkan akaun Bank Islam mempunyai 14 digit.

Menurut Rafizi, ia bermula apabila beliau telah dimaki secara berjemaah oleh penyokong-penyokong Pas sejak pagi tadi kerana memberi ulasan mengenai pendedahan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang telah membayar Clare Rewcastle Brown sebanyak RM1.4 juta untuk membolehkan beliau (Hadi Awang) menarik balik saman di mahkamah UK.

Nombor akaun Bank Islam yang dipertikaikan oleh Pas yang disiasat Rafizi.

“Saya dituduh menyebarkan fitnah kerana penyokong-penyokong Pas ini memberikan hujah bahawa nombor akaun Bank Islam yang terkandung di dalam perjanjian yang mengesahkan pembayaran (iaitu akaun Bank Islam bernombor 9010001388) itu dikatakan nombor akaun palsu.

“Penyokong-penyokong Pas telah cuba memindahkan wang ke akaun Bank Islam bernombor 9010001388 ini untuk mengesahkan akaun itu wujud. Cubaan itu gagal kerana akaun Bank Islam mempunyai 14 digit dan nombor yang dimasukkan ke dalam perjanjian itu hanya ada 10 digit.

“Lalu mereka (penyokong-penyokong Pas) telah menyebarkan komen-komen bahawa ini satu lagi penipuan terancang untuk memfitnah presiden dan parti mereka.

“Mereka juga menindakkan kononnya pembayaran itu tidak pernah berlaku,” katanya.

Ekoran itu, kata Rafizi, saya pun mengambil keputusan untuk membuat sedikit penyelidikan mudah untuk mengesahkan nombor akaun itu benar-benar wujud.

“Saya tahu bahawa nombor 10 digit yang terkandung di dalam perjanjian itu hanyalah sebahagian dari nombor akaun penuh 14 digit.

“Saya bermula dengan mengenal pasti corak nombor akaun 14 digit dari cek-cek Bank Islam yang ada di internet. Saya mengamati 3 cek iaitu dari akaun-akaunTetuan LC Signature, Tetuan Yayasan Taqwa dan Tetuan Sabasun, seperti yang ditunjukkan di bawah,” kata Rafizi.

Kata Rafizi, beliau mendapati ada pola khusus iaitu cek-cek dan akaun nombor Bank Islam mempunyai susunan “40”, diikuti dengan nombor 5 digit dan diakhiri dengan nombor 10 digit (lihat di kaki cek).

Nombor 10 digit itu semuanya bermula dengan digit “9”, sama dengan kod “40” yang berulang-ulang, katanya.

“Ini memberi gambaran bahawa digit “40” dan digit “9” adalah kod pengenalan yang bukan menjadi sebahagian dari nombor akaun 14 digit itu,” katanya.

Rafizi berkata, beliau juga menyemak nombor-nombor akaun Bank Islam yang sah dan mendapati banyak yang bermula dengan 14XXX.

“Lalu saya menyimpulkan bahawa digit-digit “40” dan “9” adalah kod pengenalan dan nombor akaun sebenar ialah 5 digit bermula “14XXX” diikuti dengan 9 digit yang berkepalakan angka 9.

“Ini bermakna nombor akaun bagi Tetuan Yayasan Taqwa adalah 14023010039425 dan nombor akaun individu yang membayar RM1.4 juta bagi pihak Dato’ Seri Hadi Awang ini ialah 14032010001388,” katanya.

SIASATAN RAFIZI

Salinan cek yang didedahkan oleh SR. Ia berupa cek Bank Islam yang bayar atas nama peguam Claire.

Seterusnya, kata Rafizi, beliau memindahkan wang RM10 ke akaun Bank Islam Tetuan Yayasan Taqwa untuk mengesahkan bahawa kesimpulan beliau mengenai peraturan kod akaun Bank Islam adalah betul.

“Sistem CIMBClicks mengesahkan bahawa akaun Tetuan Yayasan Taqwa memang bernombor 14023010039425. Ini membuktikan bahawa teori saya mengenai peraturan kod akaun Bank Islam adalah betul,” katanya.

Seterusnya, kata Rafizi, beliau memindahkan RM10 ke akaun bernombor 14032010001388 yang dinamakan di dalam perjanjian antara Clare Rewcastle Brown dan Datuk Seri Hadi Awang.

“Akaun itu wujud di bawah nama Rameli Musa dan pindahan wang RM10 itu lepas.

“Ini mengesahkan bahawa akaun yang dinamakan itu wujud, sumber wang untuk RM1.4 juta itu juga wujud,” kata beliau dalam tulisannya.

Bagi beliau, tokoh yang ceknya dan akaunnya digunakan untuk membayar RM1.4 juta juga wujud.

“Saya berharap penyokong-penyokong PAS dan pembangkang berhenti dari memaki hamun dan menerima hakikat bahawa presiden mereka telah membayar Clare Rewcastle Brown untuk tidak meneruskan perbicaraan,” katanya.

SIAPAKAH RAMELI MUSA?

Hadi bertemu Rameli Musa (dua dari kiri) di Bangkok, dakwa penulis Sayuti Omar. Kanan sekali adalah Seiausaha Politik Hadi yang kini adalah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Carian Malaysia Dateline ke laman Google mendapati satu gambar tersiar tentang hubungan antara Rameli dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang disiarkan oleh blogger Mohd Sayuti Omar melalui blognya Tinta Merah.

Dalam satu tulisannya pada 4 Mac 2017 lalu dalam tulisan bertajuk “Perjanjian Bangkok II belum termeterai?“, Sayuti mendakwa sebelum dia sampai ke Bangkok, Hadi dan Rameli bertemu di Bangkok.

Dalam tulisan itu, Sayuti juga berkata, selain Rameli, Raja Petra Kamarudin turut berjumpa Hadi di sana.