Rafizi dakwa Tabung Haji labur RM740juta di syarikat bermasalah

Rafizi dakwa Tabung Haji labur RM740juta di syarikat bermasalah

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa kerajaan menyerahkan kontrak bernilai RM740 juta kepada syarikat bermasalah TH Heavy Engineering Bhd (THHE) melalui rundingan terus.

Kata Rafizi tindakan itu dibuat bagi menutup kesilapan Lembaga Tabung Haji melabur dalam THHE.

Menurut anggota parlimen Pandan itu suntikan dana berkenaan diperlukan kerana keadaan kewangan THHE yang “terlalu terdesak” selepas ia didakwa disaman kontraktornya kerana menanggung tunggakan hutang.

Suntikan ini diperlukan memandangkan keadaan kewangan THHE yang terlalu terdesak terutamanya selepas ia disaman oleh kontraktornya untuk mengutip hutang tertunggak.

Katanya ia juga mungkin membahayakan keselamatan negara kerana kontrak berkenaan memerlukan syarikat itu membekal, membina, menguji dan mentauliah tiga unit kapal rondaan luar pesisir pantai (OPV) kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Dalam keadaan keselamatan yang runcing di luar pesisir pantai Malaysia terutamanya di timur Sabah (ekoran peristiwa penculikan berulang), tindakan menganugerahkan kontrak pembinaan OPV kepada sebuah syarikat yang langsung tidak berpengalaman samalah seperti menempah masalah kerana kemungkinan besar kapal itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

“Ini akan merencatkan usaha menambah baik kawalan keselamatan perairan negara yang akan menyebabkan ancaman lanun dan penculikan akan berterusan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dakwa Rafizi kontrak berkenaan juga diberikan ketika THHE “sudah terdedah kepada kerugian” bernilai RM554 juta.

Katanya tindakan Datuk Seri Najib Razak – selaku menteri kewangan – membenarkan pelaburan itu sebagai “terdesak dan sangat tidak bertanggungjawab”.

Dalam kenyataan sama Rafizi yang juga setiausaha agung PKR turut melampirkan tiga surat bertarikh 2 Jun, didakwanya daripada Kementerian Kewangan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia (BHEPMM), beralamat di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Berdasarkan salinan itu BHEPMM dimaklumkan kerajaan meluluskan permohonan THHE melalui rundingan terus.

Keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Kementerian Kewangan pada 31 Mei lalu. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Najib.

Pada surat itu dinyatakan kerajaan menerima permohonan THHE untuk membekal, menghantar menguji dan mentauliah tiga OPV – bernilai RM740 juta.

Bagaimanapun kebenaran itu disertakan syarat, iaitu THHE mesti bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal.

Hasil semakan dibuat, kata Rafizi, menunjukkan THHE sebenarnya tidak pernah memiliki pengalaman membina OPV seperti yang dikehendaki.

“THHE adalah sebuah syarikat yang membina kemudahan pelantar di luar pesisir pantai.

“Kalau dalam perniagaan sekarang pun ia (menghadapi) masalah untuk menyiapkan kerja-kerja sehingga mengalami kelewatan dan turut digantung Petronas Carigali daripada turut serta dalam kontrak perolehan Petronas Carigali, sudah tentu THHE akan bermasalah (untuk) menyediakan kapal-kapal OPV yang diperlukan sekarang,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

 

TAGS