Rafizi dan Nurul Izzah

Oleh ARIF ATAN

Penampilan Rafizi dan Izzah pada PRU 2018 banyak menarik anak muda kepada PH.

Setiap kali berlaku sesuatu yang merugikan Pakatan Harapan (PH) kesalahan diletakkan kepada Anwar Ibrahim seolah-olah semua kesalahan itu menjadi tanggungjawabnya. Memang selaku ketua beliau kena dipertanggungjawabkan.

Namun begitu tidak semua masalah dihadapi PH menjadi tanggungjawabnya seorang. Atas apa-apa yang berlaku perlu dipertanggungjawab secara berjemaah. Kata Tok Dor secara kolektif.

Kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dibebankan kepada beliau secara lamsum. Macam-macam komen dan kritikan yang didengari.

Salah satu ialah mendesaknya berundur. Permintaan itu adalah alasan paling akhir sebenarnya. Saya yakin beliau sdang menuju ke garis akhir tidak lama lagi.

Kalau beliau berundur, siapa yang patut menjadi pengganti? Orang hanya minta beliau berundur tetapi tidak menamakan siapa sebagai penggantinya.

Secara umum disuruh mengambil alih tempatnya orang muda. Ini wajar, memandangkan Anwar sudah berusia, dah lapok. Tetapi siapakah orang muda itu?

Pagi tadi seorang sahabat daripada Terengganu minta saya sampaikan kepada Anwar mengenai hal ini. Dia menyebut dua nama sebagai ganti Anwar – Rafizi Ramli dan Nurul Iazzah. Saya percaya bukan sahaja, kawan saya itu sahaja yang terpandang dua nama ini, tetapi orang lain juga.

Meminta atau Anwar berundur saya juga merasakan wajar. Tetapi dua nama itu disebut sebagai mengisi kekosongan itu kurang tepat.

Betapa hebat, popular dan berpotensinya Rafizi dan Nurul Izzah tetapi keupayaan kedua-duanya belum mencukupi untuk menandingi keupayaan, populariti dan kemantapan perjuangan Anwar dari segi apa sahaja.

Usah bercakap soal prinsip, idealisme perjuangan, dari segi kekuatan dan iltizam perjuangan sahaja tidak memadai.

Perjuangan memerlukan seorang bukan sahaja popular, berani tetapi yang sabar dan boleh menahan diri. Sanggup menghadapi apa sahaja kerenah, tidak mudah kecewa dan melarikan diri.

Prinsip yang harus ada pejuang akan mati paling akhir atau paling awal daripada pengikut. Tidak melarikan diri dan mengambil cuti, kerana tiada istilah cuti dalam perjuangan.

Kalau jadi pemimpin hanya mahu muncul waktu senang, mengutip bunga-bunga kejayaan, tidak mahu menghidu kebusukan dan memikul beban kesusahan, itu bukan sifat pemimpin.

Berbalik kepada dua sosok itu mereka perlu melengkap diri, seperti Anwar, punya sifat tidak kenal mengalah, berputus asas, mudah pedih telinga atau dalam istilah orang Kelantan babil. Milikilah sifat dimiliki Anwar baru mereka boleh dipacang untuk menjadi pemimpin.

Aneh hari ini mereka adalah pemimpin parti tetapi komitmen mereka tidak kelihatan. Apa kerana mereka tidak senang dan berbulu dengan Anwar.

Sikap sedemikian tidak perlu ada kerana handicap dan persaingan tetap akan ada dalam apa jua jemaah atau organisasi. Bukankan pejuang itu perlu kekuatan jiwa dan mental.