Malaysia Dateline

Rafizi gesa laksanakan semula apungan harga minyak mingguan

Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa kerajaan melaksanakan semula sistem apungan harga minyak secara mingguan seperti yang dilaksanakan pentadbiran BN sebelum ini.

Menurutnya, pelaksanaan sistem tersebut membolehkan harga RON95 diturunkan sebanyak 20 sen untuk beberapa minggu akan datang berdasarkan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Ujarnya, harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak sejak beberapa minggu lalu terutama minggu ini.

“Bagi memastikan harga yang dibayar rakyat melambangkan keadaan pasaran semasa, saya memohon supaya kerajaan mempertimbangkan menyemak harga mengikut formula secara mingguan.

“Rakyat sudah terbiasa dengan pengiraan mengikut minggu seperti yang ditinggalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Malah, rakyat tidak tahu pun bahawa kerajaan kini menyemak harga mengikut formula secara bulanan,” jelasnya.

Pemimpin PKR itu berkata demikian dalam sepucuk surat yang diutuskan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan turut dikongsi di akaun Facebook rasminya hari ini.

Jelasnya, kerajaan perlu menyemak harga mengikut formula secara mingguan untuk memastikan rakyat menikmati penjimatan serta-merta jika ada kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia.

“Oleh kerana kiraan kerajaan menggunakan rujukan harga bulanan purata bagi November 2018 untuk menetapkan harga RON95 bagi Disember tahun ini, ia menunjukkan harga mengikut formula mekanisme harga automatik (APM) masih lagi lebih tinggi, RM2.20 seliter yang ditetapkan.

“Selagi harga minyak mentah dunia kekal tinggi, maka pengiraan formula hanyalah untuk menentukan berapa subsidi yang ditanggung kerajaan kerana harga yang dibayar oleh rakyat adalah lebih rendah berbanding harga formula,” tambah Rafizi lagi.